LAWAS: Pemimpin dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu terus berpegang teguh kepada semangat perjuangan di-amal sejak sekian lama di samping mengekalkan disiplin dan perpaduan tinggi bagi memastikan parti itu terus relevan sebagai parti menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden Kanan PBB Negeri Sarawak yang juga Menteri Perancangan Sumber Dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, segala kepentingan peribadi perlu dielak bagi memperkukuhkan lagi kekuatan parti.
Jelasnya perpecahan dan perbezaan pendapat dalam parti hanya akan meruntuhkan parti itu seperti berlaku terhadap parti komponen BN seperti SNAP dan PBDS sebelum ini.
“Malah Presiden Parti PBB iaitu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan keamanan dan merapatkan perbezaan antara SUPP, UPP, SPDP dan Teras selain bertolak ansur, meletak kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti atau ego terutama ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Penghargaan PBB Cawa-ngan Bukit Sari bertemakan ‘Jasamu Dikenang’ untuk 150 pemimpin akar umbi terdiri daripada golongan veteran dan ahli.
Jelasnya lagi, semangat perpaduan menjadi nadi perjuangan parti merupakan kunci kepada kekuatan serta daya tahan PBB dari sebuah parti kecil menjadi parti kedua terbesar di Malaysia malah menjadi tulang belakang BN di Sarawak.
“Ia adalah obor perjua-ngan dan pengorbanan nenek moyang yang perlu dikekal oleh generasi pemimpin dan ahli parti PBB sekarang,” katanya.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Menteri Kemudahan Awam itu berkata lagi dari sebuah parti kecil, entiti ini telah berkembang menjadi tulang belakang dan tonggak kekuatan BN Sarawak, dalam menentukan hala tuju ke masa depan negeri ini demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata Adenan juga memutuskan untuk memilih semua calon BN di bawah satu pasukan yang bersatu padu dan kuat bersama beliau menggunakan logo BN untuk bertanding pada PRN.
“Kekuatan PBB adalah berdasarkan kepada prinsip majoriti dalam masyarakat minoriti digabungkan dalam pelbagai kaum Sarawak.
“Pemimpin dan ahli datang dan pergi, tetapi apa yang harus dikekalkan adalah semangat untuk menegakkan perjuangan parti dan kepen-tingan rakyat,” katanya.
Awang Tengah menggesa semua veteran parti untuk berganding bahu dengan generasi muda untuk terus memastikan kemenangan besar BN di Bukit Sari, berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dengan generasi muda dalam memenangi PRN.
Beliau berkata, parti pembangkang akan mengguna-kan calon tempatan pada PRN ini selain menghantar beramai-ramai pemimpin dan penyokong mereka dari Semenanjung Malaysia dalam kempen pilihan raya.
“Budaya dan kempen mereka adalah asing kepada kami di Sarawak, dan saya secara peribadi telah menyaksikan bagaimana penduduk tempatan pernah kecewa dengan kesombo-ngan mereka di kawasan kita pada pilihan raya negeri yang lalu,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Tengah Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Timbalan Pengerusi Cawa-ngan PBB Bukit Sari Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang Datu Maria Hasman dan Setiausaha Ekse-kutif PBB Awang Bujang Awang Antek.