13 March 2016

Ikan Tahai Didaftar Sebagai Harta Intelek Sarawak

Ikan Tahai

LAWAS: Produk kampung ikan tahai keluaran daerah  Limbang dan Lawas  sudah diiktiraf dan didaftar sebagai  Harta Intelek Sarawak di bawah Petunjuk Geografi (GI) merupakan salah satu komponen Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata  Limbang dan Lawas amat popular dengan  keluaran ikan tahai.

“Dengan ada pengiktirafan itu, ia akan mendapat pasaran lebih luas. Kita bakal membawa produk kampung kepada pasaran  bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Karnival  Usahawan  Majlis Perasmian Karnival Usahawan dan Kepenggunaan Sarawak dan Regatta Lawas 2016, semalam.

Untuk fakta, ikan tahai boleh dibuat sambal, keropok, serunding, atau dimasak sup yang dikenali sebagai ‘sup dadah tahai’.

Sementara itu katanya kerajaan Brunei menyatakan persetujuan menjadikan kawasan Limbang dan Lawas sebagai pusat pengeluaran ternakan termasuk kerbau, kambing dan ayam.

“Adanya pusat pengeluaran ternakan di kawasan kita kelak, ia bakal boleh memberi peluang kepada masyarakat kita untuk menjadi pengeksport daging halal ke Brunei,” katanya.

Usaha sama dengan Brunei ini, kata Awang Tengah satu peluang terbaik dalam memaju ekonomi domestik melalui kesedaran penduduk tempatan untuk berniaga.

Selain itu satu jawatankuasa sudah ditubuhkan untuk mencari mekanisme bagaimana meningkatkan sektor dan aktiviti ekonomi dalam pelbagai bidang yang dibincang termasuk penternakan, industri halal, perikanan, pelancongan dan sektor yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

 --Utusan Borneo 13/03/2016 


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress