30 March 2016
Hanya Kerana RM500, Sanggup Bakar Rumah
MUSNAH: Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di Kampung Pahlawan, Zon Tatal Ahad lalu. |
LIMBANG: Hanya kerana RM500 seorang adik tergamak membakar rumah pusaka selepas permintaannya meminjam duit tidak ditunaikan oleh kakaknya dalam kejadian Ahad lalu.
Kejadian malang berlaku di Kampung Pahlawan di sini jam 9.30 pagi, mangsa, 37, juga kakak suspek berniaga sayur di Tamu Limbang menerima panggilan telefon daripada ibu saudaranya memaklumkan rumah mereka terbakar.
Menurut mangsa, sebelum kejadian mangsa didatangi suspek merupakan adik bongsunya daripada tujuh beradik mahu meminjam wang RM500.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai mengesahkan kejadian itu berkata mangsa menolak permintaan suspek kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu.
“Oleh kerana tidak berjaya mendapatkan wang suspek mengugut mangsa mahu membakar rumah pusaka mereka atau menggantungkan dirinya,” kata Mohd Bukhori di sini semalam.
Difahamkan suspek mendiami rumah pusaka itu seorang diri selepas ibunya meninggal dunia pada Februari 2015 sehingga kini.
Beliau menjelaskan, suspek sudah ditahan Ahad lalu dan disahkan positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan terhadapnya semalam oleh Jabatan Siasatan Narkotik, IPD Limbang.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan (khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah).
Subscribe to:
Posts
(
Atom
)