15 April 2016

Cubaan Warga Emas Rasuah PGA RM8,000 Tidak Berhasil

Gambar Hiasan
LIMBANG: Malang menimpa seorang warga emas apabila dia bukan saja ditangkap kerana disyaki terlibat penyeludupan minyak diesel bersubsidi malah cubaannya merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) juga tidak berhasil.
Ketua Kompeni C Batalion 12, PGA Limbang ASP Paul Paren Ibau berkata, suspek berbangsa Cina berusia 60 tahun merupakan pemilik premis Kampung Berawan itu cuba merasuah anggotanya sebanyak RM8,000 selepas perbuatannya menyeludup minyak diesel bersubsidi terbongkar dalam operasi pada jam 9.30 pagi Rabu.
Jelas Paul, suspek tidak menyedari kehadiran pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bahagian Limbang bersama anggotanya turut menyertai pemeriksaan ke atas premis milik suspek.
“Tindakan suspek cuba merasuah anggota kita sebanyak RM8,000 di hadapan anggota SPRM memakan diri, apabila dia ditahan SPRM kerana cuba untuk merasuah.
“Ketika kejadian pegawai SPRM turut menyamar seperti orang awam dengan tidak memakai pakaian seragam SPRM,” katanya di sini semalam.
Jelas Paul, wang dalam bentuk tunai berjumlah RM8,000 itu diberikan kepada PGA untuk tujuan tindakan tidak diambil terhadap suspek.
“Laporan SPRM telah dibuat oleh pihak PGA di pejabat SPRM cawangan Limbang pada hari sama. Suspek telah dibebas dengan ikat jamin SPRM sebanyak RM10,000 tunai dengan seorang penjamin tempatan untuk siasatan lanjut,”katanya lagi.
Pada pagi Rabu lepas, Paul bersama Inspektor Rizuan Makladin dan anggota PGA lain dan SPRM menyerbu premis milik suspek dengan merampas lebih kurang 24,600 liter minyak dipercayai diesel bersubsidi dan tiga buah kenderaan pelbagai jenis dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM82,600.

Rakyat Sarawak bertuah dipimpin Adenan: Aziz

LIMBANG: Rakyat Sarawak amat bertuah kerana dipimpin seorang Ketua Menteri seperti Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang berjiwa rakyat, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.
Katanya Adenan dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan gandingan pemimpin yang cukup mantap dan serasi dalam membangunkan negeri ini.
Beliau menjelaskan sejak Adenan dilantik menjadi Ketua Menteri, Najib kerap turun padang menjenguk Sarawak sekali gus menunjukkan hubungan dan gandingan kedua–dua pemimpin cukup baik .
“Saya orang Johor pun menyanjung dan memandang tinggi kepada Adenan kerana beliau betul-betul memimpin dan menjaga rakyat.
“Malah tiada gandingan mantap di negeri ini melainkan gandingan Adenan dan Najib yang perlu dikekal kerana kedua-duanya mempunyai satu semangat mahu membangunkan Sarawak,” katanya pada Program ‘Jom JPJ’ di Rumah Aping Lajang Kampung Batu Riau Lubai, malam kelmarin.
Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, penyandang kerusi DUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan Ibu Pejabat JPJ Malaysia Datuk Wan Ramli Wan Daud, Pengarah JPJ Sarawak Datuk Ibrahim Othman, Residen Limbang Datu Maria Hasman Ketua JPJ Limbang Julaihi Dison dan Tuai Rumah Aping Lajang.
Aziz menjelaskan lagi, pilihan raya adalah soal memilih kerajaan dan rakyat memilih adalah soal untuk memilih kerajaan.
“Pilih kerajaan yang betul-betul ingin membela kehidupan rakyat,” tegasnya.
Jelasya lagi soal memilih kerajaan diibaratkan seperti soal berkahwin dan mencari pasangan hidup yang boleh menjaga masa depan.
“Ini bukan soal main-main, kita mahu tengok latar belakang, prestasi pasangan kita, begitu juga dengan pilihan raya yang bertujuan memilih kerajaan kerana ia membabitkan soal kehidupan masa depan dan kesejahteraan kita serta generasi seterusnya,” tambahnya.
Beliau turut menempelak tindakan pembangkang yang iri hati terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dari dulu lagi dan mahu merampas kuasa, bagaimanapun mereka tidak berjaya.
“Permbangkang atau DAP belum menunjukkan prestasi yang baik berbanding kerajaan yang ada sekarang. Malah kebanyakan anak muda diperalat khususnya melalui laman sosial kerana banyak menyebar maklumat tidak benar,” katanya.
Terdahulu Aziz mendedahkan bahawa purata kemalangan di negara ini menunjukkan 19 orang mati di jalan raya setiap hari.
“JPJ dikerah untuk menjaga supaya masyarakat tidak menjadi mangsa kemalangan maut dan mematuhi peraturan supaya jalan raya selamat digunakan semua orang,” ujarnya.
Program Jom JPJ ujarnya, merupakan program turun padang agar masyarakat mengenali lebih rapat JPJ dengan menjayakan program keselamatan jalan raya selain membantu agensi itu mengurangkan kadar kemalangan.
Jom JPJ katanya berkonsepkan mesra dan santai, merupakan program untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat.
Aziz juga mahu masyarakat menyalurkan maklumat kepada JPJ termasuk kehadiran lori balak yang membawa muatan berlebihan, kerana membahayakan pengguna jalan raya, selain melaporkan masalah berkaitan pelanggaran peraturan jalan raya kepada agensi terbabit.

14 April 2016

Menantu Lapor Polis Syaki Rumah Mentua Sengaja Dibakar

LIMBANG: Seorang menantu lelaki membuat laporan polis sebaik dimaklum rumah papan setingkat milik mentuanya yang tiada penghuni sejak tiga tahun lepas ditemui terbakar di Kampung Ulak Hulu  malam Sabtu lepas.
Mangsa 23, dari Kampung Meritam menerima panggilan telefon daripada sepupunya sekitar jam 8 malam memaklum rumah mentuanya hangus disyaki dibakar orang.
Ketua Polis Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau menjelaskan hasil maklumat yang diperolehi, dua suspek berusia 30 tahun dari Kampung Telahak  dan 21 tahun dari Kampung Ulak ditahan bagi membantu siasatan.
Setakat ini beliau mendedahkan belum menemui kesan atau penemuan barang-barang disyaki khianat.
“Kejadian itu juga menyebabkan mereka kerugian RM20,000.
Mengulas lanjut katanya rumah tempat kejadian telah lama di tinggalkan ibu mentua mangsa yang balik menetap di Brunei lebih tiga tahun lepas.
Kes berkenaan katanya akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Khianat Dengan Api).

Polis Pecah Pintu, Tahan Dua Lelaki Dan Enam Straw Dadah

Gambar Hiasan
LIMBANG: Anggota polis terpaksa membuat keputusan memecah pintu kayu sebuah rumah selepas dua lelaki enggan bekerjasama membukanya dalam operasi dan pemeriksaan aktiviti penyalahgunaan dadah di Kampung Bangkita  Isnin lalu.
Dalam pemeriksaan jam 3.15 petang itu sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik diketuai Inspektor Muhammad Hadi menyerbu ke sebuah rumah di kampung berkenaan.
Bagaimanapun penghuni rumah itu enggan membuka pintu menyebabkan polis terpaksa memecah pintu kayu untuk memasuki rumah terbabit.
Ketua Polis Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata ketika pemeriksaan dijalankan kedua lelaki cuba untuk melarikan diri namun berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan kita menjumpai  enam keratan  tiub straw  lutsinar kemerahan di dalamnya mengandungi ketulan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu diletak di atas lantai bilik di rumah berkenaan,”katanya kepada media semalam.
Mohd Bukhori menjelaskan hasil siasatan awam mendapati suspek pertama berusia 30 tahun terlibat dengan dadah sejak 13 tahun lalu hingga kini dan suspek kedua berusia  28 tahun  mengambil dadah jenis syabu sejak sembilan tahun lepas hingga kini.
“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat dan mereka didapati positif Methapetamine dan Ampethamine selepas ujian saringan awal polis dilakukan ke atasnya,”ujarnya.
Jelas beliau lagi siasatan akan  diteruskan bagi mengesan punca bekalan dadah diperoleh dan penglibatan rakan suspek terbabit.
Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 12(2)ADB 1952.
Dalam kes berasingan pula, tujuh pekerja wanita warga Thailand, dua pelanggan lelaki warga Indonesia dan seorang penjaga premis warga tempatan ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan yang dipercayai melanggar peraturan Akta Passport,Akta Imigresen 1959/63 di sebuah premis urut di sempadan Tedungan malam kelmarin.
Dalam serbuan jam 8.30 malam itu, sepasukan polis cawangan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak telah membuat pemeriksaan di premis perniagaan urut di kawasan terbabit.
Kes terbabit akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen, Akta  Pasport 1959/63 (Pindaan:2002 Akta Pasport).

Warga Emas Dalang Seludup Diesel Ditahan

TERBONGKAR: Paul (tiga kiri) bersama anggotanya ketika mematahkan aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Kampung Berawan kelmarin.
LIMBANG: Tindakan seorang lelaki untuk mengaut keuntungan hasil penyeludupan minyak diesel bersubsidi hanya memakan diri apabila perbuatannya berjaya dipatahkan sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Limbang  di sebuah premis di Kampung Berawan kelmarin.
Dalam operasi jam 9.30 pagi itu,sepasukan  anggota PGA diketuai  Ketua Kompeni C Batalion 12, PGA Limbang ASP Paul Paren Ibau, bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bahagian Limbang mengadakan pemeriksaan ke atas premis milik suspek berbangsa Cina berusia 60 tahun.
Paul berkata pelbagai barangan seperti peralatan menyimpan dan menyedut minyak, tiga  kenderaan pelbagai jenis dan minyak diesel bersubsidi dirampas.
“Antara barangan dirampas termasuk beberapa buah tong simpanan minyak berisi diesel bersubsidi, tangki minyak diesel, tiga buah kenderaan, dan peralatan lain dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM82,600,” katanya disini semalam.
Suspek, katanya, ditahan dan kes berkenaan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut di bawah Akta Barang Kawalan.

13 April 2016

PVATM Terus Bela Kebajikan Wira Negara

LAWAS: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) terus membawa tranformasi membela kebajikan wira-wira negara yang terpinggir dan tidak diketahui nasib mereka selepas berhenti berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presidennya Senator Laksamana Tan Sri Datuk Setia Mohd Anwar Nor berkata PVATM memperjuang kebajikan veteran ATM seperti mendapat bantuan rumah, meningkatkan elaun sara hidup yang kini diterima oleh veteran ATM RM300 serta bantuan untuk veteran tentera kurang upaya dan bantuan lain.
Menurutnya, terdapat lebih 200,000 veteran ATM yang tidak layak menerima pencen dan hampir 100,000 orang layak menerima pencen ATM.
“Melalui program Jelajah Jejak Veteran ATM di seluruh Sarawak, kita ingin bersua muka dan melihat sendiri masalah veteran ATM yang kebanyakannya memerlukan pembelaan khususnya dalam kalangan mereka yang tidak berpencen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra dan Tahlil bersama Presiden Persatuan Veteran ATM sempena Hari Pahlawan di kediaman Pengerusi Cawangan PVATM Lawas Mohd Alwi Razali di Kampung Sungai Kudong di sin, malam Ahad lalu.
Hadir sama Pengerusi PVATM Sarawak Rolland Demong Radin, Bendahari PVATM Mejar (B) Abu Kassim, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Bukit Sari yang juga veteran ATM Kaunselor Semie Nasip, Ketua Kampung Hasin Tahir, Imam Rakawi Pangkat dan veteran ATM yang lain.
Mohd Anwar juga merupakan timbalan presiden Bekas Tentera Sedunia yang berpusat di Paris.
Katanya PVATM ditubuh pada 1972 dan kini mempunyai 249 cawangan dengan terbaharu di Lanang, Sibu.
Menurutnya, ATM dari Sarawak dikenali ‘Bujang Berani’ merupakan komuniti yang amat rapat antara mereka.
“PVATM sentiasa memegang prinsip dan kesetiaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini bersama ATM sejak dari awal dan seluruh warga ATM Sarawak tetap bersama BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya.
Sementara itu, Rolland berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi sejumlah 50 unit rumah kepada veteran ATM negeri ini menerusi Program Bantuan Rumah dan 50 Program Baik Pulih.

11 April 2016

Bersihkan Limbang Daripada Aktiviti Penyeludupan

LIMBANG: Semua pihak termasuk agensi penguat kuasa dan masyarakat diminta bersama-sama membersihkan bandar ini daripada aktiviti penyeludupan termasuk arak dan rokok daripada terus berleluasa.
Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah menjelaskan bahawa kegiatan penyeludupan dan penjualan barang seludup secara terang-terangan wajar ditangani bersama.
Katanya kegiatan penjualan arak dan rokok seludup yang hanya akan merosakkan remaja dan masyarakat, perlu dibanteras secara berterusan.
“Kita minta mana-mana agensi berkuasa dipertanggungjawabkan agar melihat perkara ini dengan serius.
“Kegiatan penjualan barang seludup seperti arak dan rokok merosakkan remaja dan masyarakat jika tidak dibendung,” katanya ketika ditemui pada Program Sambutan Hari Pengakap Sedunia Peringkat Daerah Limbang di sini, semalam.
Hasbi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Matrang Suhaili bahawa aktiviti penjualan barang seludup seperti rokok dan minuman keras di Sabah dan Sarawak pada tahap serius.
Matrang dipetik sebagai berkata, berdasarkan statistik yang diperolehi jabatan itu menunjukkan aktiviti penjualan barang seludup di kedua-dua negeri terbabit adalah sangat tinggi.
Hasbi berkata masalah penjualan barang seludup perlu ditangani dengan memerlukan penyertaan semua pihak dan bukan bergantung kepada agensi-agensi penguat kuasa semata-mata.
“Masyarakat wajar menyalurkan maklumat dan memberi kerjasama kepada agensi-agensi kerajaan bagi menangani masalah tersebut,” katanya.
Beliau berkata sambutan Hari Pengakap Sedunia bagi anak-anak terdiri daripada pelbagai kaum menjalin silaturahim ke arah mewujudkan keharmonian masyarakat di negara ini.
“Tujuan pengakap adalah melatih dan menggalakkan perkembangan jasmani, akal dan pergaulan di kalangan generasi muda.
“Ini penting supaya mereka mengambil bahagian secara konstruktif dalam pembangunan menjadi seorang individu bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, kokurikulum adalah kegiatan berkumpulan yang dirancang lanjutan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai dipelajari di bilik darjah.
Beliau menjelaskan, penyertaan murid-murid sebagai generasi muda dan rakyat di negara ini dalam kokurikulum dapat menyemai perasaan muhibah, perpaduan, integrasi nasional dan menyemai nilai-nilai murni menyertai aktiviti sedemikian.
Sementara itu, seramai 439 termasuk 52 pemimpin pengakap dan 387 ahli pengakap menyertai perhimpunan itu.
Turut hadir Residen Limbang Datu Maria Hasman, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Limbang Abdul Malik Deni, Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Brunei Awang Badar Awang Ali, Penolong Pesuruhjaya Pengakap Ibu Pejabat Tugas-Tugas Khas Zon Utara Mohd Fathi Ramli dan Edmund Siaw Chai Poh, Pengerusi Majlis Pengakap Tempatan Temenggung Ang Kheng Su dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Limbang juga Penasihat Majlis Pemimpin Pengakap Daerah Limbang Mohamad Tangah.
Pada majlis itu, Hasbi turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM10,000 kepada Pengakap Daerah Limbang.

Projek Jiwa Murni ATM: Berkhidmat Kepada Yang Terpinggir - Hishammuddin



BA'KELALAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneruskan Projek Jiwa Murni dalam usaha memberi perkhidmatan kepada mereka yang terpinggir.


Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan memastikan penduduk di pedalaman diberi perkhidmatan dan kemudahan yang sewajarnya seperti yang dijanjikan kerajaan sebelum ini.



Jelas Hishammuddin, ATM mempunyai tenaga kerja dan kepakaran bagi meneruskan kelangsungan agenda pembangunan luar bandar oleh kerajaan terutama di Sarawak.



"Ini bukan suatu perkara yang baru, ia di luar daripada pemikiran kita. Memberi khidmat kepada mereka yang terpinggir memerlukan pemikiran di luar konvensional dan tentera kita (ATM) sanggup melakukannya dan itu merupakan kredit kepada mereka.



"Tidak banyak tentera di luar sana sanggup memikir di luar kotak dan niatnya adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat (terutama) kepada mereka yang sebelum ini menunggu-nunggu. Kita telah buktikan bahawa ia adalah agenda kita yang berterusan," katanya selepas merasmikan Projek Jiwa Murni ATM, Pembinaan Jalan 21KM dari Ba'kelalan ke Bario.



Menurutnya, menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), ATM melihat pentingnya menjalinkan kerjasama rapat dengan masyarakat terutama kepada mereka yang mula kecewa dengan janji-janji kerajaan.



"...kerana kita nak memastikan bahawa mereka yang sebelum ini kecewa dan putus asa dan tidak mahu dengar lagi janji-janji kosong, hari ini mereka tengok bahawa apa yang kita lakukan ini telah menjadi satu kenyataan.



"Apa yang saya bangga ialah kita buat (Projek Jiwa Murni) dalam kaedah yang bukan konvensional. Kor Jurutera (Rejimen Askar Jurutera DiRaja) kita yang sebenarnya teras urusannya adalah tentera, tidak pernah kita buat jalan. Tetapi kerana kita sanggup memikir di luar kotak dan secara inklusif kita gunakan kaedah NBOS di mana kerjasama rapat dengan pihak-pihak yang berkepentingan," katanya.

Justeru, beliau berharap agar rakyat terus memberi kepercayaan kepada kerajaan dalam meneruskan kelangsungan agenda pembangunan luar bandar.

10 April 2016

Awang Tengah Minta Polis Pandang Serius Judi Siber, Mesin Ikan di Lawas

LAWAS: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu polis memandang serius aktiviti perjudian siber dan mesin ikan di daerah Lawas.

Beliau berkata saranan itu sejajar langkah tegas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu memerangi aktiviti judi siber di negeri ini.

“Kita mahu membanteras segala bentuk judi siber supaya ia tidak akan berleluasa. Judi siber membawa kemudaratan kepada masyarakat dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi melumpuhkan judi siber dan mesin ikan di sebuah bangunan dijadikan mini kasino di bandar Lawas malam Khamis lepas.

Dalam operasi jamm 8.15 malam itu polis Lawas berjaya merampas 19 mesin judi siber dan sembilan mesin ikan bernilai RM500,000 iaitu jumlah rampasan terbesar di daerah Lawas setakat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata operasi dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Lawas diketuai ASP Raduwan Narawi dengan penahanan lima individu berusia 17 hingga 50 tahun.

Awang Tengah turut mengucapkan tahniah kepada polis atas operasi tersebut.

Oleh itu beliau akan terus berhubung dengan pihak polis dalam usaha untuk membanteras habis-habisan aktiviti judi siber di daerah ini.

 --Utusan Borneo 09/04/2016 


Inisiatif Perkasa Usahawan Bumiputera

PELAN PEMBANGUNAN: (Dari depan dua kiri) Awang Tengah, Maria, Naroden dan Hussaini (kanan) mendengar penerangan daripada Samat (kiri).

LAWAS: Projek pembinaan Anjung Usahawan Lawas (R&R) di kawasan Merapok bukan saja menjadikan kawasan sempadan itu sebagai persinggahan antara Sabah, Brunei dan Sarawak malah membantu memperkasa usahawan Bumiputera tempatan.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kawasan Merapok terletak di sempadan Lawas mempunyai potensi besar dibangun sebagai pusat pengeluaran hasil pertanian dan penternakan.

Menurutnya Merapok berhampiran negeri jiran Sabah itu mampu membangun berdasar keadaan geografi dan kekayaan produk tempatan yang perlu diusahakan.

Katanya, anjung berkenaan adalah perancangan kerajaan membangunkan masyarakat Merapok bagi memulakan perniagaan berdasarkan potensi dan kekayaan sumber hasil pertanian serta penternakan tempatan.

“Kemudahan anjung itu memberi manfaat ntuk membangunkan ekonomi masyarakat setempat bermula perniagaan kecil sehingga berskala besar,” katanya pada majlis pecah tanah Anjung Usahawan Lawas (R&R Merapok) di sini semalam.

Turut sama ialah Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, Pengarah Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal Samat Junai, Residen Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim dan ketua masyarakat lain.

Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian itu berkata, kerajaan juga sedang memikirkan bagaimana untuk membangunkan kawasan Merapok untuk dijadikan sebagai pusat untuk pengeluaran sayur dan ternakan secara komersil.

“Adanya kemudahan ini, segala aktiviti ekonomi akan dapat dijalankan dengan mengambil kira aspek pemasaran,”tambahnya.

Awang Tengah juga optimis pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sekarang akan membangunkan Merapok sebagai kawasan persinggahan kerana mudah dihubungi.

“Malah kerajaan Malaysia juga berunding dengan kerajaan Brunei sebelum ini untuk memanjang tempoh urusan di pos imigresen sempadan termasuk di CIQ Merapok dan Simdumin sehingga 12 tengah malam.

“Melalui kemudahan Lebuh Raya Pan Borneo ini kita juga sedang memikirkan untuk memanjangkan tempoh di pos imigresen di sempadan untuk dibuka 24 jam,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai Anjung Usahawan itu, kerajaan katanya akan membina gudang, selain projek lain termasuk kemudahan balai polis yang baharu, penyambungan bekalan air terus ke SMK Merapok dengan peruntukan RM2.5 juta memandangkan kawasan tersebut bergantung kepada air graviti.

Terdahulu Naroden berkata sebanyak RM15 juta diperuntukkan kerajaan pusat melalui TERAJU untuk membina Anjung Usahawan di negeri ini termasuk di Lawas.

Jelas beliau Anjung Usahawan Lawas dibina dalam tempoh 12 bulan dan mempunyai 10 kedai dan sebuah pasar raya mini dengan kos RM3 juta.

“Anjung Usahawan Lawas dijangka dapat meningkat taraf ekonomi penduduk, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan, menggalak pengeluaran dan penggunaan sumber ke tahap optimum selain penggunaan keluaran usahawan tempatan,” katanya lagi.

Beliau yakin kemudahan tersebut akan berjaya memasarkan produk jualan hasil tempatan kepada luar.

“Oleh itu usahawan tempatan di Lawas perlu mengambil peluang ini dengan menyediakan pelbagai makanan yang unik dan tidak terdapat di kawasan lain dalam menarik lebih ramai pengunjung datang ke Lawas,” ujarnya lagi.

 --Utusan Borneo 09/04/2016 


 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress