15 April 2016

Rakyat Sarawak bertuah dipimpin Adenan: Aziz

LIMBANG: Rakyat Sarawak amat bertuah kerana dipimpin seorang Ketua Menteri seperti Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang berjiwa rakyat, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.
Katanya Adenan dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan gandingan pemimpin yang cukup mantap dan serasi dalam membangunkan negeri ini.
Beliau menjelaskan sejak Adenan dilantik menjadi Ketua Menteri, Najib kerap turun padang menjenguk Sarawak sekali gus menunjukkan hubungan dan gandingan kedua–dua pemimpin cukup baik .
“Saya orang Johor pun menyanjung dan memandang tinggi kepada Adenan kerana beliau betul-betul memimpin dan menjaga rakyat.
“Malah tiada gandingan mantap di negeri ini melainkan gandingan Adenan dan Najib yang perlu dikekal kerana kedua-duanya mempunyai satu semangat mahu membangunkan Sarawak,” katanya pada Program ‘Jom JPJ’ di Rumah Aping Lajang Kampung Batu Riau Lubai, malam kelmarin.
Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, penyandang kerusi DUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan Ibu Pejabat JPJ Malaysia Datuk Wan Ramli Wan Daud, Pengarah JPJ Sarawak Datuk Ibrahim Othman, Residen Limbang Datu Maria Hasman Ketua JPJ Limbang Julaihi Dison dan Tuai Rumah Aping Lajang.
Aziz menjelaskan lagi, pilihan raya adalah soal memilih kerajaan dan rakyat memilih adalah soal untuk memilih kerajaan.
“Pilih kerajaan yang betul-betul ingin membela kehidupan rakyat,” tegasnya.
Jelasya lagi soal memilih kerajaan diibaratkan seperti soal berkahwin dan mencari pasangan hidup yang boleh menjaga masa depan.
“Ini bukan soal main-main, kita mahu tengok latar belakang, prestasi pasangan kita, begitu juga dengan pilihan raya yang bertujuan memilih kerajaan kerana ia membabitkan soal kehidupan masa depan dan kesejahteraan kita serta generasi seterusnya,” tambahnya.
Beliau turut menempelak tindakan pembangkang yang iri hati terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dari dulu lagi dan mahu merampas kuasa, bagaimanapun mereka tidak berjaya.
“Permbangkang atau DAP belum menunjukkan prestasi yang baik berbanding kerajaan yang ada sekarang. Malah kebanyakan anak muda diperalat khususnya melalui laman sosial kerana banyak menyebar maklumat tidak benar,” katanya.
Terdahulu Aziz mendedahkan bahawa purata kemalangan di negara ini menunjukkan 19 orang mati di jalan raya setiap hari.
“JPJ dikerah untuk menjaga supaya masyarakat tidak menjadi mangsa kemalangan maut dan mematuhi peraturan supaya jalan raya selamat digunakan semua orang,” ujarnya.
Program Jom JPJ ujarnya, merupakan program turun padang agar masyarakat mengenali lebih rapat JPJ dengan menjayakan program keselamatan jalan raya selain membantu agensi itu mengurangkan kadar kemalangan.
Jom JPJ katanya berkonsepkan mesra dan santai, merupakan program untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat.
Aziz juga mahu masyarakat menyalurkan maklumat kepada JPJ termasuk kehadiran lori balak yang membawa muatan berlebihan, kerana membahayakan pengguna jalan raya, selain melaporkan masalah berkaitan pelanggaran peraturan jalan raya kepada agensi terbabit.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress