LAWAS: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) terus membawa tranformasi membela kebajikan wira-wira negara yang terpinggir dan tidak diketahui nasib mereka selepas berhenti berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presidennya Senator Laksamana Tan Sri Datuk Setia Mohd Anwar Nor berkata PVATM memperjuang kebajikan veteran ATM seperti mendapat bantuan rumah, meningkatkan elaun sara hidup yang kini diterima oleh veteran ATM RM300 serta bantuan untuk veteran tentera kurang upaya dan bantuan lain.
Menurutnya, terdapat lebih 200,000 veteran ATM yang tidak layak menerima pencen dan hampir 100,000 orang layak menerima pencen ATM.
“Melalui program Jelajah Jejak Veteran ATM di seluruh Sarawak, kita ingin bersua muka dan melihat sendiri masalah veteran ATM yang kebanyakannya memerlukan pembelaan khususnya dalam kalangan mereka yang tidak berpencen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra dan Tahlil bersama Presiden Persatuan Veteran ATM sempena Hari Pahlawan di kediaman Pengerusi Cawangan PVATM Lawas Mohd Alwi Razali di Kampung Sungai Kudong di sin, malam Ahad lalu.
Hadir sama Pengerusi PVATM Sarawak Rolland Demong Radin, Bendahari PVATM Mejar (B) Abu Kassim, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Bukit Sari yang juga veteran ATM Kaunselor Semie Nasip, Ketua Kampung Hasin Tahir, Imam Rakawi Pangkat dan veteran ATM yang lain.
Mohd Anwar juga merupakan timbalan presiden Bekas Tentera Sedunia yang berpusat di Paris.
Katanya PVATM ditubuh pada 1972 dan kini mempunyai 249 cawangan dengan terbaharu di Lanang, Sibu.
Menurutnya, ATM dari Sarawak dikenali ‘Bujang Berani’ merupakan komuniti yang amat rapat antara mereka.
“PVATM sentiasa memegang prinsip dan kesetiaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini bersama ATM sejak dari awal dan seluruh warga ATM Sarawak tetap bersama BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya.
Sementara itu, Rolland berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi sejumlah 50 unit rumah kepada veteran ATM negeri ini menerusi Program Bantuan Rumah dan 50 Program Baik Pulih.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.