LIMBANG: Jururawat perlu mempunyai kemahiran terkini berhubung perkembangan teknologi perubatan yang semakin canggih supaya mampu memberi perkhidmatan terbaik sejajar dengan kehendak atau permintaan masyarakat berkeperluan.
Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Jusoh berkata jururawat sekarang berdepan pelbagai cabaran yang menuntut mereka meningkatkan lagi segala pengetahuan termasuk kemahiran perkembangan terkini kejururawatan.
“Pada masa sama jururawat yang ada bukan setakat perlu mempunyai sikap penyayang, tetapi komited atau berkemahiran mengikut perkembangan teknologi terkini,” katanya pada Perhimpunan Hari Jururawat Sedunia 2016 Bahagian Limbang di sini, semalam.
Turut hadir Pengarah Hospital Limbang Dr Mohamad Ng, Pengerusi Pengelola Sambutan Hari Jururawat Lollyta Simun, kakitangan Bank Rakyat dan jururawat Hospital Limbang.
Dr Norliza menjelaskan, dalam menangani kerenah masyarakat dan pesakit jururawat juga perlu lebih tahu apa yang diperlukan daripada pelanggan.
“Jururawat perlu lebih tahu daripada mereka apa yang dapat mereka berikan walaupun berdepan dengan kekangan yang dihadapi di hospital kerajaan,” tambahnya.
Beliau menambah, pelbagai kursus harus diikuti selepas mendapat Diploma Kejururawatan seperti kursus pembedahan, kebidanan dan kursus kesihatan lain.
Jelas beliau, Hospital Limbang turut mengalami transformasi dengan pelbagai kemudahan yang jauh lebih baik berbanding lima tahun lepas.
Peralatan ini menurutnya, penting bagi memastikan segala perkhidmatan kesihatan dapat disediakan kepada para pesakit dan masyarakat.
Sementara itu, sempena Hari Jururawat Sedunia 2016, beliau mahu jururawat terus melaksanakan tugas yang dikehendaki.
“Harapan saya supaya jururawat mendukung apa jua prinsip, meningkatkan prestasi dan kemahiran sejajar dengan kehendak teknologi sekarang serta meningkatkan kemahiran melayan pesakit. Selamat Hari Jururawat,” katanya.
Dalam pada itu Dr Mohamad Ng menjelaskan bahawa sebanyak 267 kes pesakit dirujuk ke Hospital Miri sepanjang tahun lepas.
“Dalam tempoh 2010-2015, kes dirujuk ke Hospital Miri agak statik dan tidak bertambah dengan merekodkan sekitar 250 hingga 300 kes yang dihantar ke Hospital Miri setahun,” tambahnya.
Jelasnya statistik Hospital Limbang menunjukkan penyakit jangkitan paru-paru merupakan penyakit yang paling banyak direkodkan di Hospital Limbang.
--Utusan Borneo 13/05/2016