26 March 2016

Polis tahan penoreh sembunyi dadah dalam beg silang

LAWAS: Tindakan seorang penoreh getah menyorok dadah jenis syabu dalam beg silang dipakainya memakan diri apabila dia ditahan polis di sini petang kelmarin.

Dalam pemeriksaan jam 4.06 petang itu suspek lelaki, 50, dari Merapok dekat sini ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lawas diketuai oleh ASP Jason Baya.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu peket lut sinar dan tiga keratan straw berwarna kuning mengandungi hablur kristal disyaki syabu dalam beg silang berwarna hitam dipakainya.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Lawas dan hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek positif ujian Methapethamine dan Amphethamine. Berat kasar syabu dirampas adalah 1.8 gram,” katanya kelmarin.

 --Utusan Borneo 25/03/2016 


24 March 2016

Warga Emas Ditemui Koma, Pakar Percaya Wujud Unsur Jenayah

LIMBANG: Seorang warga emas ditemui tertiarap tidak sedarkan diri di bilik mandi rumahnya oleh majikan di Kampung Sembiling di sini, Khamis lalu selepas dua hari tidak turun bekerja.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai  berkata, mangsa, 66, ditemui majikan dalam keadaan ada kesan benjolan di dahi, kesan luka kecil di lutut kiri dan kaki serta calar di bahagian perut hasil pemeriksaan hospital dan dihantar ke Hospital Miri jam 2 petang pada hari kejadian.
Sebelum ini hasil pemeriksaan Hospital Limbang mendapati mangsa dipercayai terjatuh di dalam bilik air.
Bagaimanapun, katanya, hasil pemeriksaan lanjut doktor pakar dari Hospital Miri kelmarin mendapati ada unsur jenayah terhadap mangsa dan anak mangsa sudah membuat laporan polis.
Mangsa yang kini dalam keadaan koma akibat mengalami pendarahan otak dipercayai tinggal seorang diri dan kata Mohd Bukhori, kes berkenaan masih dalam siasatan.

21 March 2016

Pertahan Rekod Cemerlang BN: TPM

HUBUNGAN BAIK: Ahmad Zahid sempat merasa keenakan pulut kuning yang diberikan Awang Tengah, disaksikan (dari kiri) Masir, Dr Abdul Rahman, Hasbi dan Mohamad.

LIMBANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memegang rekod perkhidmatan cemerlang di bawah pemerintahannya sejak negara mencapai kemerdekaan hingga hari ini perlu dipertahan demi kesinambungan pembangunan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat Malaysia amat bertuah kerana ditadbir kerajaan sama sejak 1957.

Jelasnya kerajaan BN Sabah, Sarawak dan pusat merupakan kombinasi cukup baik untuk terus berkhidmat kepada rakyat sekali gus mempertahan pemerintah sedia ada.

“Terdapat pihak berhasrat untuk meruntuhkan kerajaan BN kerana memerintah terlalu lama. Ini bukan soal tukar baju, kenderaan atau sebagainya tetapi ini kerana rekod perkhidmatan BN cemerlang.

“Bukan saja menumpukan kepada kemajuan fizikal, kerohanian malah menitik berat keperluan rakyat,” katanya pada Pesta ‘Badudun dan Lumba Kerbau 2016’ di Kampung Gadong semalam.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) Mohamad Abu Bakar dan kenamaan lain.

Ahmad Zahid juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan tanpa mengira latar belakang, desa ataupun bandar kerajaan memberikan kesamarataan dan bukan mengikut kawasan sekali gus meningkat mobiliti sosial rakyat.

“Rakyat bukan saja diperkasa dan dipacu sebuah negara maju tetapi keseimbangan bandar dan luar bandar dapat dipertingkat kerana sokongan rakyat kepada BN sejak sekian lama,” katanya lagi.

Beliau menambah atas dasar baik inilah BN amat dicemburui oleh mereka yang mahu memadamkan rekod baik BN termasuk mereka sebelum ini pernah menjadi pemimpin BN.

“Kerajaan juga mengambil sikap mengutamakan keperluan rakyat dan akan berusaha untuk melaksana lebih banyak pembangunan berdasarkan kemampuan kewangan selain memberi kemakmuran untuk masa depan rakyat,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi pemimpin BN bukan saja datang semasa pilihan raya, tetapi sentiasa turun padang bila-bila masa berbanding pembangkang yang datang bermusim.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan untuk pembinaan Kampung Gadong berjumlah RM350,000 selain mempertimbangkan untuk membina Pos Imigresen di Kampung Pendam Limbang dan Kampung Lumapas Brunei.

Beliau turut bermurah hati menyerahkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 bagi hadiah untuk Lumba Kerbau.

Terdahulu Dr Abdul Rahman berkata Limbang masih memerlukan limpahan pembangunan daripada kerajaan negeri dan pusat.

Antara permohonan diutarakan kepada kerajaan pusat untuk dilaksana di sini membabitkan kemudahan jalan raya, membina baharu jalan raya Buang Abai ke Pengkalan Rejab (fasa ke-empat), menaik taraf jalan raya Kampung Ipai ke Pendam sejauh 17 kilometer, membina Jalan Bukit Lubuk ke Kampung Seberang Kedai dan Kampung Berawan, prasana pendidikan, kesihatan dengan pembinaan Hospital Bangunan Pakar dan kemudahan lain.

 --Utusan Borneo 21/03/2016 


Populariti Adenan Melonjak Sehingga 84 Peratus

LIMBANG: Populariti Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem  melonjak sebanyak 84 peratus iaitu meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas berdasar kajian pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tahun lepas populariti Adenan mencapai 74 peratus dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Peningkatan ini menunjukkan Adenan begitu disayangi rakyat Sarawak. Kita mahu rakyat terus menterjemah populariti itu melalui undian dan sokongan berterusan khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Intai, Menuang semalam.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan  Masir Kujat, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Tuai Rumah Intai  dan beberapa kenamaan yang lain.

Zahid turut menjangka undi popular BN akan meningkat kepada 55 peratus hingga 60 peratus pada PRN ini.

Beliau juga mahu rakyat mempunyai daya tahan bersama Adenan meskipun pembangkang dari luar datang menabur pelbagai fitnah.

“Jangan terima serangan luar kerana mahu merosakkan pemikiran kita. Kita beruntung mempunyai pemimpin seperti Adenan yang begitu mengambil berat kebajikan rakyatnya,” ujarnya lagi.

Zahid juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan lagi pembangkang tidak akan berjaya mempengaruhi masyarakat Sarawak dengan isu remeh sebagai taktik mendapatkan sokongan pengundi.

“Jangkaan saya tidak ada isu besar dapat dibawa oleh pakatan pembangkang selain isu remeh berulang kali dimainkan,” katanya.

Jelasnya, mereka masih gagal mempengaruhi rakyat apatah lagi kepimpinan BN melalui Adenan yang semakin mantap dengan usaha berterusan membawa pembangunan ke negeri ini.

“Saya amat yakin dengan kepimpinan Adenan dibantu oleh kabinet menteri lain. Apa dibawa beliau bukan sekadar janji tetapi berjaya ditunai demi kepentingan rakyat Sarawak,” ujarnya.

Menurutnya Adenan juga berjaya membawa isu-isu Sarawak dengan baik kepada kerajaan persekutuan untuk didengar.

Sementara itu, Zahid turut memberitahu beliau sudah mengadakan lawatan kali ke-16 ke Sarawak.

Jelasnya sejak Januari hingga Mac tahun ini beliau sudah 10 kali turun bertandang ke Bumi Kenyalang termasuk Limbang dan Lawas.

Katanya sebagai pemimpin nombor dua negara, beliau akan terus membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menterjemahkan akujanji untuk terus memperjuangkan keperluan rakyat.

Pada majlis itu beliau turut meluluskan pembinaan pagar parit di kawasan Rumah Intai selain memperuntukkan RM46,000 untuk menyiapkan rumah panjang berkenaan.

 --Utusan Borneo 21/03/2016 


Lelaki Diserang Suspek Kalah Futsal



LIMBANG: Seorang lelaki menerima beberapa jahitan akibat kecederaan di bahagian depan kepala selepas dipukul menggunakan objek keras selepas perlawanan futsal sempena Program ‘Badudun dan Lumba Kerbau’ di Kampung Gadong petang kelmarin.

Mangsa, 32, dari Kampung Ipai dihantar ke hospital selepas cedera dalam insiden pergaduhan antara pasukan dan penyokong futsal.

Difahamkan suspek juga pasukan bertanding  tidak puas hati selepas kalah dalam pertandingan selain disindir penyokong pasukan mangsa sebelum berlaku pergaduhan.

Pergaduhan berlaku pertama kali dalam Program ‘Badudun’ itu menimbulkan sedikit kekecohan kelmarin.

Selain mangsa, seorang lagi penyokong dari Kampung Kelapa Mawar turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dahi.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai mengesahkan kejadian itu dan laporan polis dibuat mangsa sekitar jam 7 malam kelmarin.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan).

 --Utusan Borneo 21/03/2016 


 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress