LAWAS: Sebanyak RM1 bilion dibelanja kerajaan negeri melalui Sacofa Sdn Bhd (Sacofa), melaksana pelbagai projek telekomunikasi berimpak tinggi khusus bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk ke beberapa kawasan luar bandar di negeri ini.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata projek telekomunikasi dilaksanakan membabitkan pembinaan sistem kabel dasar laut dinamakan Sacofa East West Link yang menghubungkan Kampung Buntal, Kuching dengan Mersing Johor.
“Projek telekomunikasi lain termasuk membina telekomunikasi di seluruh pelosok negeri Sarawak dan membangunkan jaringan penggentian optik bagi meningkatkan mutu dan rangkaian telekomunikasi,” katanya pada perasmian Penggentian Fiber Optik Bandar Lawas dan Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) semalam.
Turut hadir Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais,Ketua Pegawai Eksekutif Sacofa Sdn Bhd Sudarnoto Osman, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim dan jemputan lain.
Awang Tengah berkata kerajaan negeri dalam usaha membangunkan kawasan pinggir dan luar bandar dengan menjalankan pelbagai program untuk menambah baik kemudahan awam sedia ada.
“Hasrat ini sejajar dengan kehendak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi pembentangan Bajet 2016 untuk mempastikan di kawasan pinggir bandar dan luar bandar akan mendapat akses 20 mega bit sesaat daripada lima mega bit yang ada sekarang,”katanya.
Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian itu berkata sehingga kini kerajaan negeri mempunyai 702 menara telekomunikasi dan 8,000 kilometer jaringan optik.
“Semua ini dilakukan untuk membolehkan kemudahan telekomunikasi disediakan untuk semua rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menjalankan projek telekomunikasi di bawah Program T3 USP.
Menurutnya Sacofa begitu komited dalam membantu kerajaan negeri mengurangkan jurang digital di antara penduduk kawasan bandar dan luar bandar.
“Untuk meningkatkan usaha mengurangkan jurang digital, kerajaan negeri melalui Sacofa telah merancang tiga fasa pelan tindakan.
“Antaranya membangunkan ‘Trans-Borneo Super Highway’ dengan menyambung rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dari Sarawak ke Sabah melalui Brunei, membangunkan rangkaian penggentian jalur lebar berkelajuan tinggi di pusat pentadbiran bahagian untuk membangunkan rangkaianya di bandar Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi.
“Kita akan membangun digitalisasi masyarakat luar bandar dengan melaksana projek untuk meningkatkan kualiti jalur lebar dan mengurangkan penggunaan VSAT,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa Sacofa berjaya membangunkan 93 kilometer jaringan penggentian optik yang menghubungkan tujuh menara telekomunikasi di daerah Lawas.
“Dengan projek ini, Lawas kini bersedia untuk jalur lebar berkelajuan tinggi seperti 3G dan 4G.
“Saya menggesa pembekal perkhidmatan telekomunikasi mengembangkan perniagaan alat telekomunikasi yang akan menguntungkan rakyat di samping meraih pulangan kewangan untuk syarikat masing-masing.
Sementara itu seramai 1,296 penduduk di daerah Lawas menerima baucar BR1M yang diserahkan oleh Awang Tengah