27 May 2016

Pesalah Trafik Diburu

PERIKSA: Khairul (dua kiri) memeriksa sebuah kenderaan Brunei pada Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (Brunei) semalam.
LIMBANG: Polis berjaya mengesan 73 kenderaan Brunei yang mempunyai saman tertunggak dengan kutipan kompaun sebanyak RM14,080 pada hari pertama Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (Brunei) yang dijalankan di Bandar Limbang semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, 286 kenderaan diperiksa dalam operasi yang diketuai Ketua Bahagian Trafik Daerah ASP Khairul Ridzuan Ahmad bersama 11 anggota dan lima anggota Simpanan Sukarelawan Polis (PVR) di jalan utama berhadapan Balai Polis Pusat Limbang.
Jelasnya 134 saman berjaya dijelaskan dengan nilai kompaun RM14,080 dan sebanyak 9,477 saman masih gagal dijelaskan dari 2010 hingga tahun lepas.
“Operasi yang diadakan semalam adalah untuk memburu pemilik kenderaan Brunei yang mempunyai saman tertunggak dan gagal dibayar untuk pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya kepada media di sini, semalam.
Tegas beliau, sekatan jalan raya diadakan di hadapan Balai Polis Pusat yang juga merupakan satu-satunya jalan utama bagi setiap kenderaan melalui bandar Limbang sama ada melalui Brunei Utara mahupun Brunei Selatan.
“Setiap kenderaan yang bernombor pendaftaran Brunei diperiksa untuk menyemak sama ada mempunyai saman tertunggak atau tidak.
“Mereka yang mempunyai saman tertunggak diminta membuat semakan lanjut dan diarahkan untuk menjelaskan saman tertunggak meliputi daerah lain selain Limbang termasuk dari Sabah,” ujarnya.
Jelas beliau, operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memburu pesalah terbabit sambil mengingatkan bahawa saman perlu dilunaskan segera bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang.
Jelasnya, kekerapan menyemak saman penting agar tidak mengganggu perjalanan mereka jika ditahan semasa operasi atau sekatan jalan raya yang dijalankan pihaknya di daerah itu.
Dalam pada itu Mohd Bukhori berkata berdasarkan statistik yang dikeluarkan Bukit Aman, warga Singapura dan Brunei didapati mempunyai jumlah saman tertunggak yang paling tinggi.

Pembantu Kedai Terlibat Dadah Dicekup Polis

BARANG KES: Dadah yang dirampas daripada suspek.
LAWAS: Seorang pembantu kedai dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu operasi berterusan yang dijalankan di bandar ini Isnin lepas.
Suspek lelaki berusia 22 tahun dari kawasan perumahan Jalan Punang ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lawas diketuai Inspektor Zulpaka Aidiee sekitar jam 11.20 malam.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata semasa pemeriksaan polis menjumpai satu keratan straw berwarna hijau muda yang mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.
“Dadah berkenaan disimpan dalam poket sebelah kanan seluar Bertulis ‘CP carphanie XL’ berwarna biru muda.
“Suspek juga positif Ampethamine dan Methapetamine selepas ujian saringan awal polis dilakukan ke atasnya,”katanya di sini, kelmarin.
Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
--Utusan Borneo 27/05/2016

24 May 2016

Membuahkan Hasil

MENGELUARKAN HASIL: Awang Tengah (tiga kiri) Henry, Paulus, Chaiti dan Hussaini (kanan) menunjukkan tembikai emas yang sudah dituai di Lawas, semalam.
LAWAS: Projek Rimbunan Kasih (PRK) yang pertama diperkenalkan di Sundar di sini, membuahkan hasil apabila mengeluarkan tuaian sebanyak 2.5 tan metrik (2,000) biji buah tembikai emas bakal dipasarkan di Brunei Darussalam.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata projek bernilai RM50 juta daripada kerajaan pusat dan negeri merupakan model perniagaan berkonsepkan pembangunan holistik meningkatkan pendapatan masyarakat di Sundar dan Awat-Awat, Lawas.

Beliau berkata, ini merupakan projek ekonomi berasaskan pertanian dan perternakan dibangunkan di tanah seluas 34 hingga 40 hektar membabitkan pembinaan 100 rumah peserta terlibat dalam projek tersebut.

“Projek ini menukar landskap pembangunan di Sundar dengan dilengkapi kemudahan, bangunan rumah moden dengan teknologi baharu, sistem tanaman hidroponik dan kemudahan lain,” katanya pada lawatan kerja sempena Penyempurnaan Tuaian Pertama Tembikai Emas dan Melepas Anak Ikan di bawah projek ekonomi anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri.

Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datu Chaiti Bolhasan, Timbalan Pegawai Kemajuan ICU Negeri Hamdiah Ismail dan Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan itu berkata tuaian pertama tembikai emas dan pelepasan anak ikan menjadi nukleus pembangunan ekonomi lebih berintegrasi dan memberi nilai tambah kepada penduduk.

“Rakyat mendapat manfaat berdasarkan kedudukan berdekatan dengan Brunei dan negara Asia lain meskipun Lawas belum mempunyai kemudahan lapangan terbang dan pelabuhan besar,”ujarnya.

Beliau memberitahu, projek berkenaan bukan sahaja menumpu kepada pengeluaran tetapi aspek pemasaran dan seramai 100 peserta terpilih membangunkan PRK bermula Ogos ini.
“Dengan adanya projek perintis kita mahu peserta mempelbagai tanaman seperti tanaman pisang, ubi dan memperluas potensi penternakan berorientasikan pasaran eksport.

“Dengan teknologi yang ada kita dapat melibatkan produk-produk lain untuk memberi nilai tambah daripada sumber kelapa sawit,” katanya.

Sementara itu, Chaiti berkata PRK merupakan usaha kerajaan membangunkan dan mengenal pasti sistem pertanian moden dan ekonomi di luar bandar.

Menurutnya, PRK dikendalikan pihak swasta di bawah IRIS Corporation berperanan membimbing peserta melalui kursus dan latihan dari segi pengeluaran dan pemasaran.

Wanita Sorok Dadah Dalam Lubang Kumbahan Dicekup

Dadah Yang Dirampas Di Rumah Suspek.
LIMBANG: Padah menimpa seorang wanita yang juga kakitangan kerajaan apabila dicekup polis ketika cuba menyorokkan dadah jenis syabu dalam lubang kumbahan belakang rumahnya di sini, semalam.

Suspek yang berusia 38 tahun, dari Jalan Pandaruan di sini, ditahan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Limbang dalam satu serbuan di Kampung Pahlawan di sini sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai mendedahkan bahawa suspek enggan membuka pintu ketika anggotanya memperkenalkan diri untuk melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan dalam rumah dan tubuh suspek tidak menjumpai dadah ketika pintu dibuka suspek.

“Bagaimanapun, polis menemui lokasi tempat sisa kumbahan dalam keadaan tertutup di belakang rumah suspek dan menjumpai tiga keratan tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah,” katanya di sini, semalam.

Beliau memberitahu, suspek tiada kes lampau juga negatif dadah hasil ujian saringan awal dijalankan ke atasnya.

Suspek bekerja di jabatan kerajaan hampir 10 tahun ditahan dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Guru Maut Kereta Terbabas Langgar Pokok

LAWAS: Seorang guru maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pokok di laluan bertentangan dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Lawas-Trusan di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Ellyvia Kermin, 27, dari Beaufort, Sabah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kemalangan berlaku jam 5.05 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari bandar Lawas menuju ke Trusan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di sebelah kanan laluan dari bandar Lawas ke Trusan.

“Mangsa disahkan meningggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.
Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) 1987.

Tak Sempat Gawai




Dua sahabat maut selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lagi kereta di Limbang, semalam.

LIMBANG: Hasrat dua sahabat balik kampung meraikan perayaan Gawai Dayak tidak kesampaian selepas maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Gen2 berwarna hitam yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta jenis Hyundai Tucson dari arah bertentangan di Jalan Sungai Kubut, Kuala Lurah, semalam.

Mereka yang maut ialah pemandu Gen2 terbabit, Senin Gember,40, dan penumpang Angkin Luat, 42, masingmasing berasal dari Mukah.

Manakala pemandu Hyundai Tucson, Allabou berusia 30-an, warganegara Maghribi yang bekerja di Brunei patah kaki kiri dan mengalami kecederaan di bahagian dada, dirawat di Hospital Limbang.

Difaham Gen2 dalam perjalanan dari arah Brunei ke Limbang manakala Tucson dari arah Limbang hendak pulang ke Brunei bertembung dengan Gen2 terbabit.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang Gen2 tersepit di dalam kenderaan yang remuk dan meninggal serta-merta di tempat kejadian.

Anggota bomba bertungkuslumus mengeluarkan mangsa tersepit manakala pemandu Hyundai terbabit berjaya dikeluarkan oleh orang ramai yang datang membantu di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba Limbang Kurong Beki berkata hasil siasatan awal mendapati Gen2 terbabit memotong kenderaan lain di bahagian selekoh sebelum bertembung dengan Tucson itu.

Beliau berkata seramai lapan anggota diketuai Zakaria Matnor dengan dua kenderaan bergegas ke tempat kejadian yang jauhnya 42 kilometer sebaik menerima panggilan sekitar jam 8 pagi.

“Kami bertungkus-lumus mengeluar pemandu dan penumpang Gen2 yang tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang,” katanya sambil menambah jentera tiba di lokasi 37 minit kemudian.

Katanya pemandu dan penumpang Gen2 disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu Hyundai dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan menggunakan ambulans hospital,” tambahnya.

22 May 2016

Peranan Guru KAFA Penting Bentuk Muslim Sejati

LIMBANG: Peranan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sangat penting dalam membentuk individu Muslim berkeperibadian mulia selain berpegang kepada ajaran Islam khususnya berdepan cabaran dalam dunia globalisasi.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata tanggungjawab yang dipikul guru KAFA sama  besarnya dengan golongan pendidik lain kerana memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak.
Menurut beliau tanggungjawab membentuk keperibadian Muslim mantap perlu bermula di peringkat awal ketika kanak-kanak masih di usia muda.
“Ini amat penting dalam mencorakkan keperibadian seseorang untuk memberi panduan hidup agar tidak terjebak dalam aktiviti maksiat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Guru KAFA Peringkat Bahagian Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya malam kelmarin.
Turut sama ialah Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Pengerusi Badan Kebajikan Guru KAFA Daerah Limbang Ustaz Abdul Malik Deni dan jemputan lain.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan itu berkata tanpa didikan agama kuat anak muda akan mudah terperdaya serta terjebak budaya asing yang sesetengahnya jelas bertentangan ajaran Islam.
Beliau menjelaskan lagi selain pengaruh Internet, keruntuhan akhlak dalam kalangan anak muda juga disebabkan pengaruh rakan dan kawasan persekitaran terdedah gejala sosial.
“Kemungkinan anak muda terjebak dengan gejala negatif dapat dikurangkan jika golongan itu mempunyai bekalan pendidikan agama secukupnya selain mendapat kasih sayang dari keluarga,” katanya.
Katanya lagi tugas guru bukan saja mendidik dan mengajar di bilik darjah malah skop pendidikan harus diperluas ke luar bilik darjah.
“Guru KAFA berperanan membentuk insan syumul serta mengamalkan apa yang diajar dalam bilik darjah dalam realiti sebenar.
“Ini menunjukkan bahawa guru KAFA merupakan ejen mampu membentuk modal insan berlandaskan ajaran agama,”ujarnya lagi.
Awang Tengah juga mahu golongan guru sentiasa memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke tahap yang tinggi sesuai dengan perubahan dalam dunia yang semakin moden.
Pada majlis itu Awang Tengah mengumumkan RM20,000 masing-masing untuk KAFA Limbang dan RM20,000 untuk KAFA Lawas.

Warga Pendidik Diingat Bersedia Hadapi Perubahan Pendidikan

LIMBANG: Warga pendidik diingatkan agar bersedia menghadapi pelbagai perubahan dalam institusi pendidikan terutama ketika berdepan dengan dunia globalisasi.
Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail berkata warga pendidik harus melengkap  diri dengan pelbagai kemahiran bagi memasti mereka mampu memberi pendidikan sempurna.
Katanya perubahan dan  perkembangan terkini dalam sistem pembebelajaran menuntut guru untuk berfikir dan bertindak secara lebih kreatif dan berinovasi bagi mencapai kemajuan dan kecemerlangan murid.
“Sebagai guru, kita perlu lebih kreatif sejajar dengan perubahan dalam dunia moden sekarang,”katanya pada majlis pelancaran Program Larian Jogathon Amal Sekolah Kebangsaan Melayu Pusat Limbang di sini pagi semalam.
Program Larian Amal Jogaton tersebut diadakan untuk mengumpul dana tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu selain mengeratkan hubungan  dalam kalangan ahli PIBG dan komuniti setempat.
Terdahulu pelepasan acara larian telah disempurnakan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Pada majlis itu Dr Rahman turut mengumumkan peruntukan  RM105,000 bagi pembinaan dewan Rancangan Makan tambahan (RMT) manakala Awang Tengah dan Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibolah masing masing menyumbang RM10,000 dan  RM5,000  untuk PIBG sekolah itu.
Turut sama ialah  ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang, Datu Maria Hasman, Guru Besar SK Melayu Pusat Limbang, Usop Sapihi dan Yang Dipertua PIBG SK Melayu Pusat Limbang, Lily Marliana Abdul Rahman.
--Utusan Borneo 22/05/2016

Masalah Sosial Pengaruhi Disiplin Pelajar Sekolah

Gambar Hiasan
LIMBANG: Selain aspek akademik dan kokurikulum ditekan dalam sistem pembelajaran, guru juga tidak harus memandang enteng penekanan aspek disiplin yang menjadi tunjang utama kepada pembentukan peribadi dan sahsiah pelajar.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata berkata pelbagai masalah sosial berlaku dalam ruang lingkup persekolahan dipengaruhi faktor kurangnya disiplin dalam diri mereka.
Justeru, katanya, anak perlu diterap aspek disiplin tinggi sejak  sekolah rendah sehingga sekolah menengah.
“Kita mahu melahirkan anak berdisiplin sejak kecil. Tetapi jika guru memakai pakaian selekeh semasa waktu belajar juga memberi contoh teladan tidak baik kepada pelajar,” katanya pada Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Limbang di Dewan Suarah Limbang petang kelmarin.
Turut sama ialah Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang (PPD) Mohamad Tangah, Timbalan PPD Limbang Suraya Habibollah dan kenamaan lain.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Kesahawanan, Perdagangan dan Pelaburan itu berkata lagi, golongan pelajar juga harus diterapkan semangat patriotisme dan cinta akan negara  sekali gus menjunjung apa jua lambang kesetiaan kepada negara.
Tambahnya sejajar dengan tema sambutan Hari Guru 2016 ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ mereka perlu memperluas skop pembelajaran bukan saja di dalam kelas tetapi ruang lingkup persekolahan.
Warga sekolah menurutnya perlu melaksana pelbagai aktiviti serta  program bersama masyarakat khususnya menyemai semangat kerjasama dan membentuk sahsiah pelajar.
“Ini penting supaya kanak-kanak sejak kecil akan mendapat nilai tambahan dari segala program yang diadakan selain menjiwai semangat cintakan negara, perpaduan, kebersihan dan alam sekitar,” katanya lagi.
Selain kawasan persekolahan, jelasnya  program pembersihan dan penanaman pokok boleh diperluaskan di kawasan kampung dalam menyemai semangat sayangkan alam sekitar dan semangat murni lain.
Meskipun program berkenaan agak ringkas katanya namun impaknya amat bermakna kepada golongan pelajar dalam menyemai semula semangat cintakan negara dan alam sekitar selain mampu membentuk keperibadian mereka.
Dalam pada itu Awang Tengah juga mahu golongan guru agar menambah baik profesion perguruan, keupayaan sistem pendidikan sejajar dengan perkembangan teknologi.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan koir guru, penyampaian sijik dan anugerah dan Anugerah Tokoh Guru kepada bekas guru Pemanca Willie Marum Liaw.
--Utusan Borneo 22/05/2016

Kerosakan ‘Bridge Joint’ Jambatan Batu Danau Perlu Jadi Pengajaran



'Bridge Joint' Jambatan Batu Danau Tercabut
LIMBANG: Insiden kemalangan yang berlaku di Jambatan Batu Danau Jumaat lepas akibat kerosakan ‘bridge joint’ perlu dijadikan pengajaran kepada Jabatan Kerja Raya (JKR)  agar melakukan kerja penyelenggaraan dengan pantas selain mengikut spesifikasi ditetap kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata kerja penyelenggaraan jalan perlu dilakukan dengan pantas dalam tempoh 24 jan mengelak berlakunya perkara lebih buruk terutama bagi  kerosakan berlaku  pada  laluan utama di daerah ini.
Pada masa sama beliau mahu JKR negeri segera memantau kerja  penyelenggaraan dilaku JKR setiap daerah dinegeri ini.
“JKR perlu lebih serius dan kerja penyelenggaraan perlu dilakukan dengan sempurna dan bukan sambil lewa kerana ia membabitkan keselamatan nyawa orang lain.
“Jangan tunggu perkara buruk berlaku baharu ada tindakan dilakukan,” katanya ketika ditemui media ketika mengulas mengenai kerosakan pada ‘bridge joint’ di Jambatan Batu Danau sehingga mengakibatkan berlakunya  kemalangan di laluan utama itu.
Difahamkan ia merupakan kerosakan kedua dalam tempoh seminggu meskipun kerja penyelenggaraaan pertama sudah dilakukan untuk membaiki ‘bridge joint’ yang rosak dan tertanggal.
Insiden kerosakan itu menyebabkan pemandu van mengalami kecederaan ringan selain menyebabkan kerosakan pada kenderaannya selepas melalui jambatan berkenaan.
Sumber Foto Facebook 
Beliau dengan nada tegas berharap agar kejadian serupa tidak berulang lagi dan mahu agensi bertanggungjawab  bertindak lebih pantas terhadap sebarang aduan dari orang ramai dan sentiasa mengutamakan faktor keselamatan  yang  melibatkan pengguna jalan raya.
Selain kerosakan pada ‘bridge joint’, katanya, kerajaan berkaitan dan konsensi jalan perlu mempastikan setiap kerosakan jalan dan lubang perlu diperbaiki dan ditutup dalam tempoh 24 jam mengikut standard penyelenggaraan yang ditetapkan.
Insiden kerosakan  ‘bridge joint’ sehingga menyebabkan kemalangan turut menjadi viral dalam Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu apabila pengguna teknologi itu melontarkan perasaan marah dan mahu agensi berkaitan melakukan tindakan pantas sebelum perkara lebih buruk berlaku.
Residen Bahagian Limbang Datu Maria Hasman memberitahu insiden kemalangan van di Jambatan Batu Danau menjadi viral di laman sosial dan aplikasi WhatsApp menyebabkan kemarahan dalam kalangan penduduk tempatan.
Selain masalah teknikal beliau  berkata  kerosakan berulang  itu juga  berkemungkin  menyebabkan  ‘bridge joint’ tersebut beralih dari tempat asal  akibat  kenderaan berat yang agak banyak melalui jambatan tersebut.
Jambatan Batu Danau merupakan laluan utama Pan Borneo menghubungkan Sarawak  Brunei dan Sabah dan merupakan satu satunya laluan dari Miri  ke Lawas serta turut digunakan warga Brunei yang berulang alik dari bandar Limbang ke Pekan Temburong Brunei Darussalam mahupun ke Kota Kinabalu Sabah.


 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress