13 March 2016

Lengkap Wanita Dengan Ilmu Perusahaan

LAWAS: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Naroden Majais berharap golongan wanita melengkapkan diri dengan ilmu perusahaan dan berkaitan dengannya. Katanya, ini penting dalam menangani masalah ibu tunggal dan mangsa masalah rumah tangga berdiri dengan sendiri setelah terpaksa memikul tanggungjawab menyara anak-anak.

Kerajaan jelasnya, akan terus membantu dan Malaysia satu-satunya negara yang menyediakan berbagai bentuk bantuan dalam berbagai bentuk seperti kewangan, kemahiran dan pemasaran untuk penggiat PKS. "Ini harus diakui kerana ramai yang telah berjaya hasil daripada usaha berterusan kerajaan khususnya kerajaan negeri ini," tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam perasmian Program Pemerkasaan Wanita Lawas bersempena dengan Karnival Usahawan dan Kepenggunaan Sarawak 2016 dan Regata Lawas yang disempurnakan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam. Sementara itu, Pengerusi Perkim Cawangan Lawas, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud pula menegaskan wanita perlu berilmu dan sedia untuk terus berusaha dalam membantu keluarga.

"Kehidupan hari ini memerlukan sokongan kaum wanita untuk meningkatkan kesejahteraan sesebuah keluarga," katanya. Beliau berharap kerajaan akan terus mengadakan banyak program untuk membantu membangkitkan semangat juang wanita yang terlibat dalam sektor PKS di daerah Lawas.

Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Dato Maria Hasman, Pengarah Kementerian Keusahawanan Samad Junai dan kenamaan tempatan lainnya. Program berkenaan diserikan dengan penampilan selebriti terkenal Elfira Roy berhubung peluang berniaga bersama PNS(BIT) oleh Perbadanan Nasional Malaysia. 

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress