LAWAS: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) bermula sebagai sebuab parti politik kecil yang kemudiannya berkembang besar atas faktor kesatuan dan persefahaman tinggi antara ahlinya. Naib Presiden Kanan Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semangat juang untuk membela rakyat sejak awal telah meletakkan kepentingan parti melebihi segalanya walaupun pada peringkat awal mereka berada dalam serba serbi kekurangan.
“Namun melalui semangat kerjasama dan bersatu antara mereka telah menjadikan parti ini bertambah kuat kerana saling melengkapi antara mereka untuk menjadi juara suara rakyat negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Jasamu Dikenang Untuk PBB Bukit Sari dan Lawas di salah sebuah hotel terkemuka di sini malam semalam.Beliau yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, menegaskan sokongan berterusan golongan veteran dan bekas pemimpin parti PBB masih diperlukan dalam menjadikan parti ini terus relevan sepanjang zaman.
Katanya, perkembangan politik yang tidak menentu kini harus dijadikan iktibar kepada ahli-ahli parti PBB agar terus mengukuhkan perpaduan antara mereka dan meletakkan kepentingan parti melebihi segalanya demi kelangsungan rakyat negeri ini untuk terus mempertahankan hak mereka. Selain itu beliau juga memberitahu bahawa parti PBB adalah parti kedua terbesar di negara ini yang menjadi payung serta pelindung kepada rakyat negeri ini.
“Walau sebesar dan sekuat mana kita, jika berpecah belah akan hanya menjadikan kita lemah dan menjadi serpihan kecil yang akhirnya menyebabkan rakyat negeri kita terpinggir,” ujarnya.
Awang Tengah menegaskan, asas perjuangan parti PBB telah diperkukuhkan selepas era kemerdekaan dengan mengisinya menerusi politik pembangunan oleh bekas ketua menteri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. “Usaha ini diteruskan melalui pemerkasaan politik pembangunan dengan membawa politik pembangunan ini ke kawasan luar bandar dalam membawa transformasi di luar bandar oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Turut hadir Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Naroden Majais, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti PBB dan kenamaan tempatan lainnya daripada ahli-ahli serta veteran parti PBB Lawas.
Terdahulu Timbalan Ketua Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Kr. Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa memberitahu majlis ini akan dilakukan secara bersiri dan untuk siri pertama melibatkan penganugerahan penghargaan kepada 100 bekas pemimpin dan ahli-ahli parti PBB Bukit Sari dan Lawas.
Beliau yang juga anak kepada bekas pengasas parti PBB Lawas iaitu Pengiran Jawa dan isteri yang juga veteran wanita Parti PBB Lawas, Dayangku Maimunah Pengiran Sili menegaskan jasa pemimpin dan pejuang parti PBB terdahulu akan terus dikenang. “Malah program ini juga menjadi landasan untuk generasi muda tradisi menghargai pemimpin terdahulu yang telah meletakkan mereka pada kedudukan baik dalam sebuab negeri yang aman makmur hari ini,” tambahnya.
Seterusnya Awangku Jinal mahu perjuangan veteran parti PBB di Lawas ini terus dipanjangkan oleh generasi hari ini dalam membina masa depan yang lebih gemilang. Majlis dimeriahkan dengan penyampaian anugerah kepada veteran parti PBB dan anugerah khas kepada beberapa veteran parti PBB Lawas yang terus berkhidmat bersama Parti PBB Bukit Sari.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.