LIMBANG: Golongan belia terutama di luar bandar perlu memanfaatkan kemudahan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) untuk memohon pekerjaan dan menyambung pelajaran memandangkan kemudahan itu amat pantas dan senang diakses.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata kemudahan PI1M yang disediakan kerajaan seharusnya digunakan untuk perkara yang berfaedah.
“Kemudahan itu merupakan hadiah kerajaan buat rakyat bagi membantu meningkatkan ilmu dalam bidang teknologi maklumat (IT),” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Hari Bersama Komuniti PI1M di Nanga Medamit baru-baru ini.
Turut hadir wakil Telekom Malaysia Ibu Pejabat Kuala Lumpur Nazarudin Abu Bakar, Penolong Pegawai Tadbir Medamit Dony Dunggat, ketua jabatan kerajaan dan ketua masyarakat yang lain.
Paulus turut menggesa golongan belia dan remaja supaya memanfaatkan PI1M sebaik mungkin khususnya sepanjang cuti sekolah ini agar terhindar daripada gejala-gejala negatif yang semakin berleluasa sekarang.
“Golongan belia perlu mengelak terlibat dalam sebarang aktiviti tidak sihat terutama gejala dadah yang kini turut membabitkan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.
“Ibu bapa perlu memantau perkembangan anak-anak bagi mengelak mereka terlibat dengan masalah sosial termasuk dadah,”ujarnya.
Sementara itu katanya penubuhan PI1M bertujuan memberi kemudahan Internet kepada komuniti tempatan.
“Antara objektif PI1M ialah meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat melalui kemudahan yang disediakan oleh pusat, di samping memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan terhadap teknologi dan Internet,”ujarnya.
Beliau juga yakin bahawa PI1M akan dapat merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dengan luar bandar selaras dengan matlamat kerajaan dan meningkatkan kadar penembusan jalur lebar selaras dengan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan.
Selain Nanga Medamit, PI1M turut dilancarkan di Kampung Pahlawan dan Kampung Meritam Limbang.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.