LIMBANG: Program penyerahan sumbangan Lee Ling Timber Sdn Bhd (Lee Ling Timber) kepada sekolah pedalaman terpilih di daerah ini antara usaha berterusan syarikat menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat khususnya pembangunan modal insan dalam kalangan pelajar sekolah luar bandar.
Kewujudan program itu bertujuan meningkat dan menyelaras CSR dalam mendukung hasrat kerajaan memajukan sektor pendidikan di negara ini.
Pengurus Besar Lee Ling Timber Limbang Chieng Kai Tiew berkata program itu merupakan antara usaha berterusan Lee Ling Timber menitikberatkan pembangunan modal insan di kalangan pelajar sekolah ke arah melahirkan generasi cemerlang.
“Program ini diharap dapat meningkatkan prestasi akademik sekolah yang terlibat,” katanya pada penyerahan sumbangan kepada sekolah pedalaman terpilih di Limbang semalam.
Sebanyak 11 sekolah dipilih untuk menerima peruntukan sebanyak RM3,000 setiap sekolah.
Antara sekolah terlibat ialah SMK Medamit, SK Bukit Batu, SK Long Napir, SK Kuala Penganan, SK Melaban, SK Kuala Mendalam, SK Nanga Medamit, SK Ulu Lubai, SK Nanga Merit, SK Kubong dan SK RC Kubong.
Sumbangan diserahkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang.
Terdahulu Paulus berkata sumbangan berkonsepkan tanggungjawab sosial pendidikan mampu membantu sekolah-sekolah di pedalaman menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak di sekolah terbabit.
“Aktiviti CSR ini perlu dipromosikan agar masyarakat mengetahui peranan Lee Ling Timber dalam melakukan aktiviti sosial kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau memberitahu bahawa kerajaan akan terus memfokus kepada sekolah-sekolah di pedalaman.
“Kita akan sentiasa berusaha memperbaiki sekolah di luar bandar demi kebajikan anak-anak di luar bandar,”ujarnya.
Jelasnya sebanyak RM10,000 diperuntuk kepada SADIA setiap tahun untuk melaksana aktiviti sekolah termasuk di SMK Medamit.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Mohamad Tangah.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.