LIMBANG - Dr Abdul Rahman Ismail yang mempertahankan kerusi Bukit Kota selepas menang tanpa bertanding, berjanji untuk membawa lebih banyak pembangunan ke daerah Limbang terutama dalam soal pendidikan dan kemudahan kesihatan.
"Saya berharap kerajaan persekutuan dapat membawa lebih ramai pakar perubatan ke Limbang supaya rakyat di sini (Limbang) tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan rawatan perubatan khusus," katanya, yang merupakan doktor perubatan.
Dr Abdul Rahman, yang merupakan penyandang kerusi Bukit Kota sejak 2006, juga akan memohon agar diwujudkan sekolah teknikal bagi menyediakan pendidikan teknikal kepada belia di kawasan berkenaan.
Secara keseluruhan, beliau berharap dalam tempoh lima tahun akan datang setiap kawasan penduduk di Limbang, akan mendapat keperluan asas seperti bekalan elektrik yang stabil, air bersih dan jalan raya.
"Pada masa ini terdapat kawasan-kawasan tertentu yang belum mendapat akses tersebut, tetapi saya akan berjuang untuk mendapatkan lebih banyak pembangunan di kawasan itu," katanya.
Mengenai kejayaannya mengekalkan kerusi itu tanpa bertanding bagi penggal ketiga berturut-turut pada 2006, 2011 dan 2016, Dr Abdul Rahman berkata ia satu mesej yang jelas bahawa pengundi menyokong Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
"Ini menunjukkan semua inisiatif yang dilakukan ketua menteri mendapat sokongan penuh daripada pengundi Bukit Kota," katanya.
Selain Dr Abdul Rahman, Menteri Negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan juga mempertahankan kerusi Bukit Sari selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada pilihanraya kali ini.
-KLXpress 28/04/2016
29 April 2016
Dr Abdul Rahman Janji Bawa Banyak Pembangunan Ke Limbang
26 April 2016
#PRNSarawak : Menang Dua ‘Bukit’ Beri Petunjuk Positif Buat BN
Sejarahnya telah tercipta buat pertama kalinya apabila Barisan Nasional Sarawak hari ini sah telah mencapai kemenangan berganda di dua DUN iaitu di N79 Bukit Kota dan N82 Bukit Sari, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 11.
Kemenangan tanpa bertanding oleh Haji Abdul Rahman Ismail dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ini nyata berita gembira bagi Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Haji Adenan Satem yang turut bakal bertanding di N03 Tanjung Datu yang bakal ditentang oleh calon PKR dikawasan berkenaan.
Memetik laporan media tempatan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebgai berkata, beliau bagi pihak kepimpinan Barisan Nasional pusat bersyukur diatas kemenangan awal ini.
Tambahnya, kemenangan tanpa bertanding di dua kerusi ini dilihat sebagai langkah kanan bagi pentadbiran Tan Sri Haji Adenan Satem untuk memperolehi mandat yang besar bagi penggal yang akan datang.
Ismail Sabri dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada dua calon Barisan Nasional berkenaan diatas kemenangan awal mereka disaat 79 orang rakan seperjuangan mereka harus mengharungi pertandingan untuk 12 hari yang akan datang.
Jelas beliau, beliau yakin dengan kemampuan Barisan Nasional negeri yang diketuai oleh Tan Sri Haji Adenan Satem untuk memacu kemenangan BN pada pilihan raya kali ini.
Mengulas perkara yang sama, Ahli Parlimen Serian merangkap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot juga menzahirkan perasaan yang sama dan menganggap, kemenangan awal BN di dua kerusi berkenaan boleh dilihat sebagai petanda baik untuk BN mengekalkan kuasa di Sarawak untuk penggal yang akan datang.
Difahamkan, sejak dari pengumuman calon oleh semua parti pembangkang di negeri ini, semua parti dilihat enggan meletakkan calon mereka di kerusi N79 Bukit Kota.
Mengikut laporan, agak mengejutkan apabila calon PKR yang sepatutnya bertanding di N82 Bukit Sari, Jamal Brahim dari PKR langsung tidak muncul di pusat penamaan calon pagi ini tanpa memberikan sebarang alasan.
Satu lagi kerusi yang langsung tidak diumumkan calon oleh mana-mana parti pembangkang adalah N80 Batu Danau dimana Paulus Palu Gumbang yang mewakili BN bertanding dikerusi berkenaan. Namun pagi ini, beliau telah ditentang oleh calon bebas di kerusi berkenaan.
Elak Persekitaran Sekolah Didatangi Haiwan Berbisa
TAHNIAH: Hasbi (dua kiri) menyerahkan hadiah kepada Guru Besar SK Melayu Pusat Usop Sapihi sambil disaksikan Mohamad (kiri) dan Suraya (dua kanan) |
LIMBANG: Pastikan persekitaran sekolah tidak bersemak dan dipenuhi rumput tebal untuk mengelak ia menjadi sarang ular terutama pada musim panas masa sekarang, kata Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah.
Beliau berkata pekarangan sekolah harus dijaga bagi mengelak didatangi haiwan berbisa yang keluar untuk mencari perlindungan daripada cuaca panas.
“Jangan biar kejadian murid dipatuk ular berulang. Kalau sekolah semak dan rumput tidak ditebas ia akan menjadi sarang ular sehingga mengancam keselamatan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Peringkat Daerah Limbang, 2016 di sini, kelmarin.
Hasbi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan untuk menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di kawasan sekolah berikutan kes murid tahun satu maut dipatuk haiwan berbisa dipercayai ular dalam kawasan taman sekolahnya di Kelantan baru-baru ini.
Sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata kementerian akan mengambil langkah perlu bagi memperketatkan SOP keselamatan sedia ada agar kejadian sama tidak berulang.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Limbang Mohamad Tangah dan Timbalan PPD Limbang Suraya Habibollah.
Hasbi menjelaskan lagi selain kawasan sekolah, SOP keselamatan juga perlu diutamakan di kawasan kerja, dalam bangunan selain diamalkan dalam aspek kehidupan.
“Keselamatan di sekolah, rumah dan tempat kerja memang menjadi keutamaan.
Ia penting bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini,” tambahnya.
Sementara itu ditanya mengenai larangan pemimpin dari Semenanjung Malaysia datang ke Sarawak, Hasbi menegaskan bahawa ia tindakan wajar bagi melindungi hak Sarawak.
Larangan ini jelasnya, mempunyai tujuan baik bagi mengelak sebarang perkara membahayakan selain dikhuatiri menimbulkan huru-hara perpaduan dan keharmonian di negeri ini.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan tegas menyatakan pendirian bahawa Sarawak bukan hanya melarang pemimpin parti pembangkang sahaja masuk ke negeri ini.
Sebaliknya ada juga pemimpin UMNO yang dilihat mungkin boleh mewujudkan sentimen perkauman atau pelampau keagamaan, turut dilarang masuk.
Katanya beliau tidak mahu perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum di Sarawak diracuni golongan berkenaan sehingga mewujudkan rasa benci antara satu sama lain.
Hasbi dalam pada itu percaya pembangkang akan membawa isu pembangunan yang belum dilaksana untuk dibawa sebagai alat kempen di Limbang.
Jelasnya kerajaan BN sudah mempunyai jawapan untuk berdepan dengan segala isu yang akan dilontarkan pembangkang sepanjang Pilihan Raya Negeri Ke-11 pada 7 Mei nanti.
Pada majlis itu pelbagai aktiviti diadakan termasuk senamrobik, penyampaian hadiah pelbagai kategori, memasak, karaoke, pelbagai acara sukan dan aktiviti lain.
Hasbi juga memperuntukkan lebih RM5,000 untuk PSKPP Limbang pada majlis sama.
Lelaki Jual Nombor Ekor Haram Dicekup
CARI BUKTI: Anggota polis menyerbu sebuah kedai di bandar Limbang dalam Ops Dadu kelmarin. |
LIMBANG: Tindakan seorang lelaki mengaut keuntungan dengan menjalankan kegiatan penjualan nombor ekor haram memakan diri apabila kegiatannya dapat dihidu polis dalam Ops Dadu di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.21 petang, sepasukan polis diketuai Inspektor Kantharuban menyerbu sebuah premis di bandar ini sebelum menahan seorang suspek di kaunter pembayaran.
Suspek berbangsa Cina berusia 31 tahun ditahan dan beberapa peralatan berkaitan kegiatan nombor ekor haram turut dirampas termasuk wang tunai bernilai RM256.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata antara barangan dirampas termasuk dua helai kertas tertulis nombor empat angka, satu unit telefon bimbit, satu batang pen dan wang tunai RM256.
Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Dr Abdul Rahman Ismail Diumumkan Menang Tanpa Bertanding
LIMBANG: Sejarah tercipta dalam landskap politik di kerusi Bukit Kota apabila Dr Abdul Rahman Ismail diumumkan menang tanpa bertanding sekali gus mengekalkan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) selepas tiada calon lain tampil menyerahkan borang semasa proses penamaan calon di Dewan Suarah Limbang pagi semalam.
Dicadang oleh Pengerusi SUPP Limbang Kaunselor Michael Tiong dan Timbalan Pengerusi PBB Bukit Kota Yusup Dullah sebagai penyokong, Dr Abdul Rahman menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Kota Hamdiah Bakir jam 9 pagi.
Dr Abdul Rahman yang juga pengerusi PBB Bukit Kota sebelum itu tiba di pejabat PBB Bukit Kota, Limbang jam 8 pagi dan berarak sejauh lebih satu kilometer bersama lebih 1,000 penyokong dengan membawa sepanduk serta bendera BN dan PBB.
Turut mengiringi beliau ialah isterinya, Dayang Maimunah Awang Mohd Daud, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Putatan Marcus Majigoh dan parti komponen BN lain.
Dr Abdul Rahman berkata, kemenangan bermakna itu menunjukkan masyarakat di DUN Bukit Kota menyokong penuh usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem membangunkan negeri ini sehingga membawa kemenangan tanpa bertanding.
“Sejarah tercipta di kerusi Bukit Kota dengan kemenangan tanpa bertanding, ini hasil usaha kita dan Hasbi dalam membawa pembangunan kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, jangkaan menang tanpa bertanding semakin meningkat memandangkan suasana sebelum hari penamaan calon semalam tidak menunjukkan kelibat pembangkang.
“Terima kasih kepada jentera PBB Bukit Kota dan sokongan semua parti komponen BN dan rakyat dengan kemenangan ini,” tambahnya.
Beliau akan membantu rakan-rakan dan calon langsung BN Paulus Palu Gumbang untuk mengekalkan kerusi Batu Danau yang berdepan dengan calon Bebas.
“Kita akan memastikan kemenangan dengan majoriti besar di Batu Danau dan jika diperlukan kita akan bergerak ke kawasan lain,” katanya.
Dr Abdul Rahman menjelaskan, kemenangan itu adalah hasil kerjasama dan perpaduan semua masyarakat di Bukit Kota.
“Tiada kata-kata lain yang dapat menggantikan pengorbanan semua pihak. Selepas ini, saya memfokuskan agenda perjuangan dengan memberi keutamaan menyediakan kemudahan asas terutama di kawasan yang belum menikmati kemudahan itu,” katanya.
Sementara itu, Hasbi memanjatkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk pimpinan kerajaan pusat, negeri dan peringkat akar umbi.
“Saya berharap kerajaan dapat melihat sokongan berterusan daripada rakyat khususnya di Bukit Kota,” katanya.
Ahli Parlimen Putatan Sabah, Marcus Majigoh turut melahirkan penghargaan kepada Dr Abdul Rahman.
“Tahniah kepada Dr Abdul Rahman, ini petanda rakyat di Sarawak bersama semua masyarakat menyokong penuh kepimpinan Adenan.
“Kemenangan ini sudah dijangka, ini kawasan kuat penyokong BN, saya ada keyakinan BN menang besar di Bukit Kota,” katanya.
Subscribe to:
Posts
(
Atom
)