LIMBANG: Sejarah tercipta dalam landskap politik di kerusi Bukit Kota apabila Dr Abdul Rahman Ismail diumumkan menang tanpa bertanding sekali gus mengekalkan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) selepas tiada calon lain tampil menyerahkan borang semasa proses penamaan calon di Dewan Suarah Limbang pagi semalam.
Dicadang oleh Pengerusi SUPP Limbang Kaunselor Michael Tiong dan Timbalan Pengerusi PBB Bukit Kota Yusup Dullah sebagai penyokong, Dr Abdul Rahman menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Kota Hamdiah Bakir jam 9 pagi.
Dr Abdul Rahman yang juga pengerusi PBB Bukit Kota sebelum itu tiba di pejabat PBB Bukit Kota, Limbang jam 8 pagi dan berarak sejauh lebih satu kilometer bersama lebih 1,000 penyokong dengan membawa sepanduk serta bendera BN dan PBB.
Turut mengiringi beliau ialah isterinya, Dayang Maimunah Awang Mohd Daud, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Putatan Marcus Majigoh dan parti komponen BN lain.
Dr Abdul Rahman berkata, kemenangan bermakna itu menunjukkan masyarakat di DUN Bukit Kota menyokong penuh usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem membangunkan negeri ini sehingga membawa kemenangan tanpa bertanding.
“Sejarah tercipta di kerusi Bukit Kota dengan kemenangan tanpa bertanding, ini hasil usaha kita dan Hasbi dalam membawa pembangunan kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, jangkaan menang tanpa bertanding semakin meningkat memandangkan suasana sebelum hari penamaan calon semalam tidak menunjukkan kelibat pembangkang.
“Terima kasih kepada jentera PBB Bukit Kota dan sokongan semua parti komponen BN dan rakyat dengan kemenangan ini,” tambahnya.
Beliau akan membantu rakan-rakan dan calon langsung BN Paulus Palu Gumbang untuk mengekalkan kerusi Batu Danau yang berdepan dengan calon Bebas.
“Kita akan memastikan kemenangan dengan majoriti besar di Batu Danau dan jika diperlukan kita akan bergerak ke kawasan lain,” katanya.
Dr Abdul Rahman menjelaskan, kemenangan itu adalah hasil kerjasama dan perpaduan semua masyarakat di Bukit Kota.
“Tiada kata-kata lain yang dapat menggantikan pengorbanan semua pihak. Selepas ini, saya memfokuskan agenda perjuangan dengan memberi keutamaan menyediakan kemudahan asas terutama di kawasan yang belum menikmati kemudahan itu,” katanya.
Sementara itu, Hasbi memanjatkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk pimpinan kerajaan pusat, negeri dan peringkat akar umbi.
“Saya berharap kerajaan dapat melihat sokongan berterusan daripada rakyat khususnya di Bukit Kota,” katanya.
Ahli Parlimen Putatan Sabah, Marcus Majigoh turut melahirkan penghargaan kepada Dr Abdul Rahman.
“Tahniah kepada Dr Abdul Rahman, ini petanda rakyat di Sarawak bersama semua masyarakat menyokong penuh kepimpinan Adenan.
“Kemenangan ini sudah dijangka, ini kawasan kuat penyokong BN, saya ada keyakinan BN menang besar di Bukit Kota,” katanya.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.