15 April 2016

Cubaan Warga Emas Rasuah PGA RM8,000 Tidak Berhasil

Gambar Hiasan
LIMBANG: Malang menimpa seorang warga emas apabila dia bukan saja ditangkap kerana disyaki terlibat penyeludupan minyak diesel bersubsidi malah cubaannya merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) juga tidak berhasil.
Ketua Kompeni C Batalion 12, PGA Limbang ASP Paul Paren Ibau berkata, suspek berbangsa Cina berusia 60 tahun merupakan pemilik premis Kampung Berawan itu cuba merasuah anggotanya sebanyak RM8,000 selepas perbuatannya menyeludup minyak diesel bersubsidi terbongkar dalam operasi pada jam 9.30 pagi Rabu.
Jelas Paul, suspek tidak menyedari kehadiran pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bahagian Limbang bersama anggotanya turut menyertai pemeriksaan ke atas premis milik suspek.
“Tindakan suspek cuba merasuah anggota kita sebanyak RM8,000 di hadapan anggota SPRM memakan diri, apabila dia ditahan SPRM kerana cuba untuk merasuah.
“Ketika kejadian pegawai SPRM turut menyamar seperti orang awam dengan tidak memakai pakaian seragam SPRM,” katanya di sini semalam.
Jelas Paul, wang dalam bentuk tunai berjumlah RM8,000 itu diberikan kepada PGA untuk tujuan tindakan tidak diambil terhadap suspek.
“Laporan SPRM telah dibuat oleh pihak PGA di pejabat SPRM cawangan Limbang pada hari sama. Suspek telah dibebas dengan ikat jamin SPRM sebanyak RM10,000 tunai dengan seorang penjamin tempatan untuk siasatan lanjut,”katanya lagi.
Pada pagi Rabu lepas, Paul bersama Inspektor Rizuan Makladin dan anggota PGA lain dan SPRM menyerbu premis milik suspek dengan merampas lebih kurang 24,600 liter minyak dipercayai diesel bersubsidi dan tiga buah kenderaan pelbagai jenis dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM82,600.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress