PELAN PEMBANGUNAN: (Dari depan dua kiri) Awang Tengah, Maria, Naroden dan Hussaini (kanan) mendengar penerangan daripada Samat (kiri). |
LAWAS: Projek pembinaan Anjung Usahawan Lawas (R&R) di kawasan Merapok bukan saja menjadikan kawasan sempadan itu sebagai persinggahan antara Sabah, Brunei dan Sarawak malah membantu memperkasa usahawan Bumiputera tempatan.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kawasan Merapok terletak di sempadan Lawas mempunyai potensi besar dibangun sebagai pusat pengeluaran hasil pertanian dan penternakan.
Menurutnya Merapok berhampiran negeri jiran Sabah itu mampu membangun berdasar keadaan geografi dan kekayaan produk tempatan yang perlu diusahakan.
Katanya, anjung berkenaan adalah perancangan kerajaan membangunkan masyarakat Merapok bagi memulakan perniagaan berdasarkan potensi dan kekayaan sumber hasil pertanian serta penternakan tempatan.
“Kemudahan anjung itu memberi manfaat ntuk membangunkan ekonomi masyarakat setempat bermula perniagaan kecil sehingga berskala besar,” katanya pada majlis pecah tanah Anjung Usahawan Lawas (R&R Merapok) di sini semalam.
Turut sama ialah Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, Pengarah Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal Samat Junai, Residen Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim dan ketua masyarakat lain.
Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian itu berkata, kerajaan juga sedang memikirkan bagaimana untuk membangunkan kawasan Merapok untuk dijadikan sebagai pusat untuk pengeluaran sayur dan ternakan secara komersil.
“Adanya kemudahan ini, segala aktiviti ekonomi akan dapat dijalankan dengan mengambil kira aspek pemasaran,”tambahnya.
Awang Tengah juga optimis pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sekarang akan membangunkan Merapok sebagai kawasan persinggahan kerana mudah dihubungi.
“Malah kerajaan Malaysia juga berunding dengan kerajaan Brunei sebelum ini untuk memanjang tempoh urusan di pos imigresen sempadan termasuk di CIQ Merapok dan Simdumin sehingga 12 tengah malam.
“Melalui kemudahan Lebuh Raya Pan Borneo ini kita juga sedang memikirkan untuk memanjangkan tempoh di pos imigresen di sempadan untuk dibuka 24 jam,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai Anjung Usahawan itu, kerajaan katanya akan membina gudang, selain projek lain termasuk kemudahan balai polis yang baharu, penyambungan bekalan air terus ke SMK Merapok dengan peruntukan RM2.5 juta memandangkan kawasan tersebut bergantung kepada air graviti.
Terdahulu Naroden berkata sebanyak RM15 juta diperuntukkan kerajaan pusat melalui TERAJU untuk membina Anjung Usahawan di negeri ini termasuk di Lawas.
Jelas beliau Anjung Usahawan Lawas dibina dalam tempoh 12 bulan dan mempunyai 10 kedai dan sebuah pasar raya mini dengan kos RM3 juta.
“Anjung Usahawan Lawas dijangka dapat meningkat taraf ekonomi penduduk, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan, menggalak pengeluaran dan penggunaan sumber ke tahap optimum selain penggunaan keluaran usahawan tempatan,” katanya lagi.
Beliau yakin kemudahan tersebut akan berjaya memasarkan produk jualan hasil tempatan kepada luar.
“Oleh itu usahawan tempatan di Lawas perlu mengambil peluang ini dengan menyediakan pelbagai makanan yang unik dan tidak terdapat di kawasan lain dalam menarik lebih ramai pengunjung datang ke Lawas,” ujarnya lagi.
--Utusan Borneo 09/04/2016
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.