11 April 2016

Bersihkan Limbang Daripada Aktiviti Penyeludupan

LIMBANG: Semua pihak termasuk agensi penguat kuasa dan masyarakat diminta bersama-sama membersihkan bandar ini daripada aktiviti penyeludupan termasuk arak dan rokok daripada terus berleluasa.
Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah menjelaskan bahawa kegiatan penyeludupan dan penjualan barang seludup secara terang-terangan wajar ditangani bersama.
Katanya kegiatan penjualan arak dan rokok seludup yang hanya akan merosakkan remaja dan masyarakat, perlu dibanteras secara berterusan.
“Kita minta mana-mana agensi berkuasa dipertanggungjawabkan agar melihat perkara ini dengan serius.
“Kegiatan penjualan barang seludup seperti arak dan rokok merosakkan remaja dan masyarakat jika tidak dibendung,” katanya ketika ditemui pada Program Sambutan Hari Pengakap Sedunia Peringkat Daerah Limbang di sini, semalam.
Hasbi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Matrang Suhaili bahawa aktiviti penjualan barang seludup seperti rokok dan minuman keras di Sabah dan Sarawak pada tahap serius.
Matrang dipetik sebagai berkata, berdasarkan statistik yang diperolehi jabatan itu menunjukkan aktiviti penjualan barang seludup di kedua-dua negeri terbabit adalah sangat tinggi.
Hasbi berkata masalah penjualan barang seludup perlu ditangani dengan memerlukan penyertaan semua pihak dan bukan bergantung kepada agensi-agensi penguat kuasa semata-mata.
“Masyarakat wajar menyalurkan maklumat dan memberi kerjasama kepada agensi-agensi kerajaan bagi menangani masalah tersebut,” katanya.
Beliau berkata sambutan Hari Pengakap Sedunia bagi anak-anak terdiri daripada pelbagai kaum menjalin silaturahim ke arah mewujudkan keharmonian masyarakat di negara ini.
“Tujuan pengakap adalah melatih dan menggalakkan perkembangan jasmani, akal dan pergaulan di kalangan generasi muda.
“Ini penting supaya mereka mengambil bahagian secara konstruktif dalam pembangunan menjadi seorang individu bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, kokurikulum adalah kegiatan berkumpulan yang dirancang lanjutan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai dipelajari di bilik darjah.
Beliau menjelaskan, penyertaan murid-murid sebagai generasi muda dan rakyat di negara ini dalam kokurikulum dapat menyemai perasaan muhibah, perpaduan, integrasi nasional dan menyemai nilai-nilai murni menyertai aktiviti sedemikian.
Sementara itu, seramai 439 termasuk 52 pemimpin pengakap dan 387 ahli pengakap menyertai perhimpunan itu.
Turut hadir Residen Limbang Datu Maria Hasman, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Limbang Abdul Malik Deni, Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Brunei Awang Badar Awang Ali, Penolong Pesuruhjaya Pengakap Ibu Pejabat Tugas-Tugas Khas Zon Utara Mohd Fathi Ramli dan Edmund Siaw Chai Poh, Pengerusi Majlis Pengakap Tempatan Temenggung Ang Kheng Su dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Limbang juga Penasihat Majlis Pemimpin Pengakap Daerah Limbang Mohamad Tangah.
Pada majlis itu, Hasbi turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM10,000 kepada Pengakap Daerah Limbang.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress