26 April 2016

Elak Persekitaran Sekolah Didatangi Haiwan Berbisa

TAHNIAH: Hasbi (dua kiri) menyerahkan hadiah kepada Guru Besar SK Melayu Pusat Usop Sapihi sambil disaksikan Mohamad (kiri) dan Suraya (dua kanan)
LIMBANG: Pastikan persekitaran sekolah tidak bersemak dan dipenuhi rumput tebal untuk mengelak ia menjadi sarang ular terutama pada musim panas masa sekarang, kata Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah.
Beliau berkata pekarangan sekolah harus dijaga bagi mengelak didatangi haiwan berbisa yang keluar untuk mencari perlindungan daripada cuaca panas.
“Jangan biar kejadian murid dipatuk ular berulang. Kalau sekolah semak dan rumput tidak ditebas ia akan menjadi sarang ular sehingga mengancam keselamatan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Peringkat Daerah Limbang, 2016 di sini, kelmarin.
Hasbi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan untuk menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di kawasan sekolah berikutan kes murid tahun satu maut dipatuk haiwan berbisa dipercayai ular dalam kawasan taman sekolahnya di Kelantan baru-baru ini.
Sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata kementerian akan mengambil langkah perlu bagi memperketatkan SOP keselamatan sedia ada agar kejadian sama tidak berulang.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Limbang Mohamad Tangah dan Timbalan PPD Limbang Suraya Habibollah.
Hasbi menjelaskan lagi selain kawasan sekolah, SOP keselamatan juga perlu diutamakan di kawasan kerja, dalam bangunan selain diamalkan dalam aspek kehidupan.
“Keselamatan di sekolah, rumah dan tempat kerja memang menjadi keutamaan.
Ia penting bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini,” tambahnya.
Sementara itu ditanya mengenai larangan pemimpin dari Semenanjung Malaysia datang ke Sarawak, Hasbi menegaskan bahawa ia tindakan wajar bagi melindungi hak Sarawak.
Larangan ini jelasnya, mempunyai tujuan baik bagi mengelak sebarang perkara membahayakan selain dikhuatiri menimbulkan huru-hara perpaduan dan keharmonian di negeri ini.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan tegas menyatakan pendirian bahawa Sarawak bukan hanya melarang pemimpin parti pembangkang sahaja masuk ke negeri ini.
Sebaliknya ada juga pemimpin UMNO yang dilihat mungkin boleh mewujudkan sentimen perkauman atau pelampau keagamaan, turut dilarang masuk.
Katanya beliau tidak mahu perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum di Sarawak diracuni golongan berkenaan sehingga mewujudkan rasa benci antara satu sama lain.
Hasbi dalam pada itu percaya pembangkang akan membawa isu pembangunan yang belum dilaksana untuk dibawa sebagai alat kempen di Limbang.
Jelasnya kerajaan BN sudah mempunyai jawapan untuk berdepan dengan segala isu yang akan dilontarkan pembangkang sepanjang Pilihan Raya Negeri Ke-11 pada 7 Mei nanti.
Pada majlis itu pelbagai aktiviti diadakan termasuk senamrobik, penyampaian hadiah pelbagai kategori, memasak, karaoke, pelbagai acara sukan dan aktiviti lain.
Hasbi juga memperuntukkan lebih RM5,000 untuk PSKPP Limbang pada majlis sama.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress