13 March 2016

Pencuri Tertinggal Kad Pengenalan Di Rumah Mangsa

LIMBANG: Malang menimpa seorang pencuri yang tertinggal beg pinggang sewaktu melolos diri sebelum sempat melarikan barang curi di sebuah rumah berpenghuni di Taman Sri Patiambun tengah malam Khamis lepas.

Kegiatan suspek, 20, dari Merasam Limbang disedari penghuni terbabit iaitu seorang wanita yang bekerja sebagai jurutera apabila terdengar bunyi tingkap belakang rumahnya dibuka.

Difahamkan sebaik mendengar bunyi berkenaan,  mangsa berusia 27 itu segera membuka lampu dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati tombol pintu, pintu dan tingkat di hadapan dan belakang rumah sudah dibuka.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata mangsa segera menghubungi rakan yang  bergegas ke kediamannya dan mendapati ada satu beg pinggang di luar pagar selain melihat seorang lelaki berbaju merah,berseluar pendek dan berkaki ayam melarikan diri.

“Rakan mangsa segera menghubungi polis  dan menjumpai satu batang besi ditinggalkan di luar pagar selain beg pinggang mengandungi kad pengenalan suspek,” ujarnya lagi.

Suspek bekerja sebagai buruh jelasnya juga berjaya ditahan dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

 --Utusan Borneo 13/03/2016 


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress