17 March 2016

Tidak Perlu Kuarantin, Kolera Terkawal di Limbang

YB Dr Abdul Rahman turut mencari maklumat di PI1M Kampung Meritam sambil disaksikan Nazarudin (berdiri, dua kiri) Mahmud dan yang lainnya semalam.
LIMBANG: Pusat kuarantin bagi penyakit kolera tidak dibuka di Limbang memandangkan penyakit itu masih terkawal berbanding tiga hingga empat tahun lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata difahamkan setakat ini kurang 10 kes kolera dicatat di daerah ini.
Sehubungan itu beliau menasihati penduduk terutama yang tinggal di tepi sungai agar berhati-hati termasuk memasak sumber air diminum.
“Pada masa ini keadaan penyakit kolera di Limbang terkawal dan pusat kuarantin belum dibuka di Limbang,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian dan Hari Bersama Komuniti Pusat Internet 1Malaysia Kampung Meritam semalam.
Turut sama ialah wakil Telekom Malaysia Ibu Pejabat Kuala Lumpur Nazarudin Abu Bakar, Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal, Ketua Kampung Telahak Sahdan Mohidin, Guru Besar SK Rahman Tusin dan jemputan lain.
Sementara itu beliau memberitahu, sekitar 300 hingga 400 pelancong dari Eropah akan datang bermandi lumpur di Lumpur Bebuak, satu lagi destinasi pelancongan utama di utara negeri ini.
Jelasnya dalam tempoh sebulan kira-kira 30-40 pelancong akan datang ke Lumpur Bebuak Meritam.
Bagaimana pun katanya, kemudahan asas termasuk bekalan air masih belum lengkap di kawasan itu.
“Kita meminta MDL menaik taraf kemudahan asas yang ada terutama bekalan air,”ujarnya.
Lumpur Bebuak Meritam menghasilkan kawah besar dipenuhi lumpur kehitaman yang lembik dan hangat.
Fenomena menakjubkan itu menyebabkan kawasan lapang di pinggir Kampung Meritam, sentiasa meriah dengan kehadiran orang ramai termasuk pelancong dari luar negara.
Kawah sering meletus (bebuak) akan  menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelar lumpur ajaib berkenaan sebagai ‘lumpur bebuak’.
Terdahulu pada majlis itu, beliau berkata Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)  menyediakan pusat capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan kurang liputan perkhidmatan.
Pusat itu turut mempunyai peralatan IT dan komputer individu yang bersambung dengan capaian jalur lebar Internet, membolehkan komuniti luar bandar menikmati kebaikan Internet seperti yang dirasai oleh komuniti di bandar.
“Kemudahan ini penting untuk memastikan komuniti luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi, mendapat kebaikan daripada peralatan IT dan penyambungan Internet.
“Dengan adanya kemudahan ini kita berharap penduduk kampung dan para pelajar dapat memanfaatkanya termasuk mempelajari bahasa Inggeris sekali gus memajukan diri ke tahap lebih baik,” katanya.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress