18 March 2016

Dua Samun Wanita RM16,000, Seorang Berjaya Ditangkap

Gambar Hiasan
LIMBANG: Hasrat dua pencuri ingin membelanjakan wang hasil samun tidak kesampaian apabila salah seorang berjaya diberkas polis dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas menyamun seorang wanita di perumahan Kuala Brawan tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian sekitar jam 12.08 tengah malam itu, mangsa seorang peniaga disamun oleh dua lelaki bertopeng bersenjatakan pisau pemotong daging dan senapang ketika hendak pulang ke kediamannya.
Ketika kejadian mangsa membawa wang tunai RM16,000 hasil kutipan hutang dan berjaya dikebas kedua-dua suspek sebelum melarikan diri ke hutan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai mengesahkan kejadian itu dan berkata seorang suspek 56, berjaya ditahan.
Jelas beliau, suspek merupakan pelanggan terakhir berurusan dengan mangsa di gerainya.
“Kita juga berjaya merampas wang tunai RM706 dan B$2.00 yang ditemui di laluan semak hadapan rumah mangsa iaitu kawasan suspek melarikan diri.
“Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Samun Berkawan Bersenjata),” katanya.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress