Gambar Hiasan |
LIMBANG: Selain aspek akademik dan kokurikulum ditekan dalam sistem pembelajaran, guru juga tidak harus memandang enteng penekanan aspek disiplin yang menjadi tunjang utama kepada pembentukan peribadi dan sahsiah pelajar.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata berkata pelbagai masalah sosial berlaku dalam ruang lingkup persekolahan dipengaruhi faktor kurangnya disiplin dalam diri mereka.
Justeru, katanya, anak perlu diterap aspek disiplin tinggi sejak sekolah rendah sehingga sekolah menengah.
“Kita mahu melahirkan anak berdisiplin sejak kecil. Tetapi jika guru memakai pakaian selekeh semasa waktu belajar juga memberi contoh teladan tidak baik kepada pelajar,” katanya pada Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Limbang di Dewan Suarah Limbang petang kelmarin.
Turut sama ialah Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang (PPD) Mohamad Tangah, Timbalan PPD Limbang Suraya Habibollah dan kenamaan lain.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Kesahawanan, Perdagangan dan Pelaburan itu berkata lagi, golongan pelajar juga harus diterapkan semangat patriotisme dan cinta akan negara sekali gus menjunjung apa jua lambang kesetiaan kepada negara.
Tambahnya sejajar dengan tema sambutan Hari Guru 2016 ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ mereka perlu memperluas skop pembelajaran bukan saja di dalam kelas tetapi ruang lingkup persekolahan.
Warga sekolah menurutnya perlu melaksana pelbagai aktiviti serta program bersama masyarakat khususnya menyemai semangat kerjasama dan membentuk sahsiah pelajar.
“Ini penting supaya kanak-kanak sejak kecil akan mendapat nilai tambahan dari segala program yang diadakan selain menjiwai semangat cintakan negara, perpaduan, kebersihan dan alam sekitar,” katanya lagi.
Selain kawasan persekolahan, jelasnya program pembersihan dan penanaman pokok boleh diperluaskan di kawasan kampung dalam menyemai semangat sayangkan alam sekitar dan semangat murni lain.
Meskipun program berkenaan agak ringkas katanya namun impaknya amat bermakna kepada golongan pelajar dalam menyemai semula semangat cintakan negara dan alam sekitar selain mampu membentuk keperibadian mereka.
Dalam pada itu Awang Tengah juga mahu golongan guru agar menambah baik profesion perguruan, keupayaan sistem pendidikan sejajar dengan perkembangan teknologi.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan koir guru, penyampaian sijik dan anugerah dan Anugerah Tokoh Guru kepada bekas guru Pemanca Willie Marum Liaw.
--Utusan Borneo 22/05/2016
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.