APA KHABAR?: Hasbi (dua kanan) bersalaman dengan kanak-kanak di Long Napir, kelihatan sama Paulus (dua kiri). |
LIMBANG: Perkampungan kaum Penan Long Napir dan Kampung Bahagia antara 50 kampung pedalaman di negeri ini terpilih bagi pelaksanaan fasa pertama Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) dengan kos RM70 juta.
Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata SARES satu lagi usaha berterusan kerajaan melalui program pencahayaan komuniti bagi memastikan penduduk pedalaman menikmati bekalan sumber elektrik.
Katanya sebanyak 300 kampung di kawasan pedalaman di negeri ini dikenal pasti bakal dibekal tenaga alternatif solar bagi mengurangkan beban kewangan masyarakat yang masih bergantung kepada jana kuasa.
“Kita berharap kerajaan melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) turut menyenaraikan kawasan penempatan berhampiran iaitu Long Rayeh, Long Sulong dan Long Tegaan dalam skim tersebut kerana kawasan itu masih bergantung kepada penggunaan jana kuasa,” katanya pada Program SARES di Rumah Janging Kampung Long Napir.
Turut hadir ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, wakil SEB Mohd Zulfika dan ketua masyarakat Penan.
Hasbi berkata lagi penduduk kampung perlu memberi kerjasama baik kepada SEB bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.
Dalam pada itu katanya, projek pembinaan Klinik Long Napir dengan kos RM3 juta kini dalam proses tender dan bakal bermula apabila kontraktor yang dilantik telah dikenal pasti.
Permohonan pembinaan Klinik Long Napir dibuat sejak 2006 dan amat diperlukan masyarakat di kawasan itu bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan lebih baik.
Kampung Long Napir dan Kampung Bahagia yang terletak tiga jam perjalanan dari bandar Limbang merupakan penempatan penduduk Kelabit dan Penan.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.