30 March 2016

Najib Rasmi Sejiwa Senada Di Limbang Sabtu Ini

Foto BH Sejiwa Senada Seratok

LIMBANG : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan program Sejiwa Senada (SJSN) di Kompleks Sukan Limbang pada Sabtu ini.

Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata sebanyak 155 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jabatan serta agensi persekutuan dan negeri akan menyertai program tiga hari itu, yang akan berlangsung sehingga 3 April.

Program SJSN itu adalah yang ketujuh tahun ini, sejak dilancarkan di Miri pada Januari lepas, bagi mengeratkan hubungan kerajaan dengan rakyat melalui konsep 'turun padang', katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Selain pameran dan jualan, SJSN juga mengadakan seminar pembangunan, ceramah, pertandingan sukan tradisional rakyat,demonstrasi masakan dan persembahan artis popular.

Kira-kira 100,000 orang dijangka mengunjungi program itu, yang turut menawarkan pelbagai cabutan bertuah dengan hadiah utamanya ialah kereta Perodua Axia.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan Sarawak berkata selepas Limbang, SJSN akan diadakan di Kompleks Sukan Sri Aman pada 8 hingga 10 April, Dewan Suarah Samarahan (15-17 April) dan berakhir di Metro City Matang di Kuching (22-24 April).

Perdana Menteri dijadual mengadakan lawatan kerja ke Miri pada 1 dan 2 April ini dengan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat pada Jumaat, merasmikan projek perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Vista Perdana dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri pada Sabtu.


Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress