LIMBANG: Masih ramai penduduk di negeri ini terutama di kawasan pedalaman di bahagian utara dan tengah Sarawak berdepan dengan masalah ketiadaan sijil lahir dan kewarganegaraan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata kebanyakan penduduk yang menetap di kawasan pedalaman merasakan agak sukar untuk mendaftar kelahiran atas faktor jarak agak jauh untuk turun ke bandar.
Jelasnya masalah ketiadaan sijil lahir dan kewarganegaraan sememangnya isu yang sentiasa diberi perhatian serius kerajaan pusat melalui penganjuran program berkaitan secara berterusan.
“Di peringkat kerajaan pusat kita memang sudah ada pasukan petugas di Sarawak yang dikendalikan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Joseph Entulu Belaun untuk mengatur program bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai masalah ketiadaan sijil lahir dan kewarganegaraan pada sidang akhbar di sini, semalam.
Nancy juga memberitahu kerajaan pusat turut mempunyai satu jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak yang turut mengetengahkan isu yang sama.
“Dalam jawatankuasa itu juga kita memutuskan dalam mesyuarat untuk turun padang ke rumah-rumah panjang dan kampung bagi mengenal pasti mereka yang tidak mempunyai sijil lahir dan kewarganegaraan,”ujarnya.
Dalam perkembangan lain ujarnya, Kerajaan Malaysia dan Brunei akan berbincang berhubung isu membawa haiwan ternakan diangkut melalui jalan darat dalam mesyuarat dua hala kedua-dua negara terbabit.
Sebelum ini peniaga kedai haiwan di sini mendakwa perniagaan mereka terjejas selepas syarikat penerbangan MASwings tidak lagi membenarkan haiwan ternakan diangkut melalui penerbangan jenis Fokker (ATR) sejak 16 Oktober tahun lepas.
Peniaga kedai haiwan di sini tidak mampu mendapatkan bekalan haiwan ternakan sama ada di Miri mahupun Sabah menggunakan laluan darat kerana kos terlalu tinggi.
Ditanya mengenai permohonan untuk menaik taraf Hospital Limbang sebagai hospital pakar yang sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, jelasnya isu itu juga akan akan terus diberi perhatian kerajaan untuk dibina di Limbang berdasarkan kedudukannya tersepit dengan negara jiran Brunei.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.