LAWAS: Masjid dan surau bukan saja berperanan sebagai rumah ibadat tetapi harus jadi sebagai pusat pembangunan ummah dan Islam, kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Jelasnya, masjid dan surau perlu diberi peranan seperti era kegemilangan di zaman Nabi Muhammad SAW.
“Masjid pada ketika itu menjadi asas kepada pembinaan negara Islam berdaulat di Madinah Al-Munawwarah serta dijadikan sebagai institusi unggul dalam pembangunan ummah di samping menyubur ukhuwah dalam kalangan umat Islam,”jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Pemerkasaan Pengurusan dan Pengimarahan Masjid/ Surau Bahagian Limbang di Pusat Latihan kelmarin.
Turut sama ialah Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Masri Razali, Pengarah JAKIM Sarawak, Abdul Aziz Jusoh, Pegawai Daerah Lawas, Husaini Hakim dan kenamaan lain.
Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak itu berkata lagi sejarah kegemilangan Islam menunjukkan bahawa kecemerlangan umat Islam dipancar melalui budaya ilmu berpangkalan di masjid.
“Kita boleh lihat Masjid Kufah di Iraq menjadi pusat perkembangan ilmu hingga menghasilkan graduan terkenal seperti Imam Abu Hanifah. Masjid Amru al-As di Mesir juga tidak ketinggalan yang dikaitkan dengan Imam Syafie.
“Malah Universiti Al-Azhar di Mesir, berasal daripada masjid iaitu Masjid Jamiul Azhar dianggap sebagai universiti tertua di dunia yang mengeluarkan ratusan ribu graduan pelbagai jurusan,” tambahnya.
Katanya lagi pengimarahan masjid melalui program keilmuan dilaksanakan dengan pengisian program-program takmir masjid dan surau telah berjalan semenjak tahun 1986.
“Program ini diadakan bertujuan untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan kegiatan keilmuan Islam secara sistematik dan menyeluruh yang bertepatan dengan peranan masjid itu sendiri,”katanya.
Awang Tengah turut menghargai usaha JAKIM yang telah banyak membawa perubaham dalam gerak kerja menyokong perkembangan Islam di negara dan negeri ini.
Beliau juga mahu semua pihak khususnya umat Islam untuk terus memperkukuhkan perpaduan, kesatuan antara mereka penting dalam memastikan umat Islam terus relevan sepanjang zaman.
Malahan pendekatan musyawarah juga harus disuburkan dalam merapatkan sebarang perbezaan pendapat dengan sokongan pihak dan masjid atau surau.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.