11 March 2016

Pergerakan Wanita PBB Diingat Sedia ‘Bertempur’ Dengan Pembangkang


LIMBANG: Pergerakan Wanita PBB Sarawak diingat bersedia ‘bertempur’ dengan pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang termasuk menangkis segala tohmahan dan fitnah dilempar dalam laman sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata ahli parti bakal berdepan satu tugas mencabar termasuk menjawab segala tuduhan dalam media sosial yang dilempar pembangkang dalam PRN ini nanti.
“Oleh itu, ahli parti diingat agar bersedia untuk menangkis segala fitnah dan tuduhan daripada pembangkang yang cuba untuk melemahkan kita,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Wanita PBB Cawangan Batu Danau dan Bukit Kota kelmarin.
Turut hadir Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Ketua Wanita PBB Bukit Kota Kaunselor Nonni Marlini Abdullah, Ketua Wanita PBB Batu Danau Roszuina Labet dan ahli jawatankuasa Wanita PBB Bukit Kota dan Batu Danau.
Beliau yang juga setiausaha Wanita PBB Sarawak dan setiausaha Wanita Barisan Nasional (BN) Sarawak juga telah melengkapkan semua ketua wanita setiap cawangan dan ranting dengan maklumat dan kursus bagi menangkis segala tuduhan daripada pembangkang.
Sementara itu jelasnya, Jawatankuasa Media sudah ditubuhkan bagi memantau segala fitnah yang dilontar dalam media sosial.
“Wanita PBB Negeri menangani segala fitnah ini dengan menempatkan mereka yang pakar untuk memantau segala cerita tidak betul dalam media sosial,”ujarnya.
Beliau mahu presiden parti komponen BN mempertimbang calon wanita, sekurang-kurangnya dua calon untuk memberi peluang kepada mereka bertanding pada PRN.
“Kita mengharapkan setiap parti komponen BN mengentengahkan calon wanita, kerana hanya PBB yang mengetengah calon wanita selain parti pembangkang,”katanya.
Terdahulu katanya, pembangkang akan menggunakan teknologi dan komunikasi termasuk media sosial untuk menghasut dan mengelirukan rakyat.
“Jangan cepat terperdaya dan berhati-hati dalam menangani segala cabaran daripada pembangkang,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, pembangkang akan memutar belit fakta khususnya pada PRN ini untuk meraih sokongan daripada rakyat.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress