11 March 2016

Ranggau Valley Bakal Jadi Bandar Termoden

LIMBANG: Sarawak bakal membangunkan bandar moden Ranggau Valley di sini, yang dilengkapi dengan kemudahan canggih dan serba lengkap menjelang 2025 di bawah pelan pembangunan semula Ranggau sekali gus menjadi bandar termoden.
Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata Ranggau Valley berkonsepkan pembangunan perumahan serta prasarana dilaksanakan seperti di Sibu Jaya.
Beliau berkata pelaksanaan Ranggau Valley satu pendekatan terbaik dilaksanakan Kementerian Perumahan bagi menggantikan masalah perumahan RPR Ranggau yang tidak terjual dan terbiar sejak lebih 10 tahun lalu.
“Kerajaan di bawah Kementerian Perumahan serius mengkaji pembangunan di sini termasuk menyediakan pelan perumahan sistematik serta menjadikan Ranggau Valley sebagai bandar moden di negeri ini selepas Sibu Jaya,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Semula Ranggau Limbang, semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Residen Bahagian Limbang Datu Maria Hasman, Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan Wan Lizozman Wan Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Wan Mohd Yusop Wan Moss, Pengarah Urusan Daya Builder Sdn Bhd Sulzari Mohamed serta tetamu lain.
Abang Johari berkata berdasarkan pelan induk perumahan itu, Ranggau Valley dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025 (10 tahun).
Jelasnya, bagi peringkat pertama kementerian membina rumah baharu lebih selesa bagi menggantikan RPR Ranggau sebanyak 126 unit.
“Sebanyak 458 unit perumahan tambahan juga dibangunkan semula. Selain itu, turut dibangunkan kediaman dua tingkat semi detached, kediaman teres dua tingkat dan banglo tiga tingkat,” katanya.
Abang Johari berkata Ranggau Valley juga dilengkapi bangunan komersil, restoran, hotel bertaraf tiga bintang, stesen minyak, tebingan sungai, lagun dan kemudahan pelancongan.
“Ranggau Valley yang dijangka siap 10 tahun akan datang bakal mengubah wajah Limbang, merancakkan ekonomi dan pendapatan penduduk,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan gaya hidup masyarakat melalui reka bentuk bangunan berkonsep mesra masyarakat, menaik taraf kemudahan awam dan rekreasi.
Selain Ranggau Valley, Kementerian Perumahan membangunkan 256 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan 241 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Jalan Pandaruan di sini.
“Kementerian juga menubuhkan institusi perbank sendiri yang diberi nama Mutiara Mogage Finance bagi mereka yang tidak diluluskan permohonan pinjaman perumahan daripada institusi perbankan di sini,” katanya.
Abang Johari berkata pembinaan semula perumahan Ranggau disiapkan secepat mungkin bermula tahun ini manakala mereka yang masih berdepan masalah pembelian RPR Ranggau diberi keutamaan membeli perumahan Ranggau baharu apabila siap nanti.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Tempatan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress