KUCHING: Karnival Usahawan dan Kepenggunaan 2016 yang diadakan di Lawas pada 11 hingga 13 Mac ini dijangka akan berjaya mengutip hasil jualan produk usahawan tempatan sehingga mencecah RM1.5 juta sepanjang tiga hari dianjurkan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, jumlah hasil jualan produk usahawan tempatan itu berdasarkan rekod yang dicatatkan pada penganjuran karnival yang sama di Miri iaitu sebanyak RM1.2 juta dan Saratok, RM1 juta.
Menurutnya, pada sambutan Hari Koperasi Negara di Kuching sebelum ini juga berjaya mengutip RM8 juta hasil jualan produk tempatan menerusi gerai jualan yang dibuka.
“Jadi kita jangkakan Karnival Usahawan dan Kepenggunaan 2016 yang diadakan hujung minggu ini di Lawas dijangka akan berjaya mengutip hasil jualan sehingga RM1.5 juta menerusi gerai-gerai jualan yang terdiri daripada usahawan tempatan yang dibuka pada hari tersebut nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama jawatankuasa penganjur Karnival Keusahawanan dan Kepenggunaan 2016 di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini, semalam.
Pada masa sama Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber berkata, sebanyak 150 gerai jualan akan dibuka pada karnival itu nanti. “Ini merupakan platform untuk usahawan tempatan mempromosikan produk mereka ke pasaran yang lebih luas lagi.
“Malah, penganjuran karnival ini bukan sahaja dapat membantu para usahawan kita untuk mempromosikan produk masing-masing tetapi juga merapatkan jabatan dan agensi kerajaan dengan rakyat di kawasan tersebut,” tambahnya.
Selain itu, Naroden berkata kejohanan Regata Lawas juga dianjurkan yang menawarkan hadiah lumayan kepada ‘Raja Sungai’.
“Kita juga menjangkakan penyertaan peserta dari negara jiran iaitu Brunei Darussalam pada kejohanan regata kali ini,” jelasnya.
Beliau berkata majlis perasmian yang akan diadakan pada 12 Mac ini dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin.
Menyentuh mengenai sasaran jumlah pengunjung yang akan berkunjung pada karnival itu, beliau berkata dijangkakan sekitar 100,000 pengunjung akan membanjiri daerah Lawas sepanjang tiga hari karnival tersebut berlangsung.
“Kami juga menyediakan cabutan bertuah kepada pengunjung yang datang pada Karnival Usahawan dan Kepenggunaan 2016, justeru, kami amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi memeriahkan suasana di situ nanti,” ujarnya.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Datuk Stanley Tan.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.