LIMBANG: Sarawak boleh menjalin kerjasama dengan penerbangan Royal Brunei yang mempunyai jaringan penerbangan terus ke Hong kong, Singapura dan Bandar Seri Begawan untuk membawa masuk lebih ramai pelancong ke sini.
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata Limbang mempunyai produk pelancongan termasuk Lumpur Bebuak yang boleh dipromosikan untuk menarik kemasukan pelancong.
Katanya jawatankuasa pelancongan di bawah Pejabat Residen Limbang juga sudah memikirkan cara-cara untuk mempromosikan Limbang kepada dunia luar.
“Melalui kerjasama dengan Royal Brunei, kita boleh menarik lebih ramai pelancong dari luar mengunjungi Limbang melalui Bandar Seri Begawan,” katanya pada Program Semarak Sejiwa Limbangfm #pasti di hati anjuran RTM Limbang, malam kelmarin.
Turut hadir isteri beliau Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan isteri Dayang Maimunah Awang Mohd Daud, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan isteri Mary Sindang, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Residen Bahagian Limbang Datu Maria Hasman, Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Pengurus Stesen RTM Limbang Montogomary Montahar serta tetamu lain.
Abang Johari berkata usaha mempromosi keunikan budaya dan kawasan terdapat di Limbang wajar diperhebat dalam usaha menarik kedatangan pelancong.
“Keunikan budaya masyarakat pelbagai kaum di sini merupakan produk pelancongan yang harus dipromosi di luar negara,” jelasnya.
Selain itu, kawasan Lumpur Bebuak terdapat di Kampung Meritam Limbang yang mana lumpurnya dipercayai boleh mengubat penyakit kulit merupakan satu tarikan pelancongan yang tidak terdapat di tempat lain.
Menyentuh mengenai program tersebut, Abang Johari berharap RTM terus memainkan peranan menerbitkan program yang menjalinkan kerjasama antara kerajaan dan rakyat.
“Program berbentuk pembangunan dan informasi perlu bagi membuka minda dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perkembangan semasa yang berlaku,” katanya.
Program Semarak Sejiwa Limbangfm 2016 diadakan dua hari bermula Sabtu lalu berjaya mencapai matlamat mendekatkan warga RTM dengan masyarakat bersama agensi dan jabatan.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM15,000 untuk Kelab Rekreasi RTM Limbang.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.